
SERAMAI 300 wira negara yang terdiri daripada golongan guru dan anggota bomba di kawasan Bentong, Pahang diraikan dalam konsert Ratu rock negara, Ella yang berlangsung pada Sabtu.
Bertempat di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, persembahan Ella USA 30th Anniversary Concert itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 4,000 peminat dari dalam dan luar negara.
Ella, atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 59, bersama suaminya, Azhar Husaini Ghazali sempat menitipkan penghargaan atas jasa dan pengorbanan golongan berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Nasib baik sempat kahwin’, terperangkap musim salji dan gempa bumi semasa rakaman album Ella USA, teruja reunion bersama Kyoji Yamamoto
BACA LAGI: Ratu Rock, pemuzik legenda Jepun bersatu! Kyoji Yamamoto 'goreng' gitar di konsert 30 tahun Ella USA
"Selamat hari guru kepada semua pendidik dan tenaga pengajar di seluruh Malaysia. Terima kasih atas segala usaha dan dedikasi anda dalam membentuk masa depan anak-anak.
"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua anggota bomba di atas pengorbanan dan keberanian anda selama ini," ucapnya ringkas pada konsert tersebut.
Seramai 300 wira negara yang terdiri daripada golongan guru dan anggota bomba di kawasan Bentong, Pahang diraikan dalam konsert Ratu rock negara, Ella yang berlangsung pada Sabtu. pic.twitter.com/EZdqdwrZQG
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) May 18, 2025
Dalam pada itu, Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam, Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, sempena sambutan Hari Guru dan Hari Bomba Sedunia, Genting Malaysia mengedarkan tiket percuma kepada individu-individu berdedikasi ini untuk menyaksikan konsert ulang tahun ke-30 penyanyi lagenda tanah air, Ella.
Katanya, inisiatif tersebut mencerminkan penghargaan Genting Malaysia terhadap sumbangan tidak ternilai anggota bomba dalam melindungi keselamatan masyarakat dan para guru dalam membentuk generasi masa depan.
"Genting Malaysia Berhad, di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan Genting Bersama Malaysia, memberi penghargaan istimewa kepada wira negara pada Mei ini dengan menyampaikan tanda penghargaan kepada para guru dan anggota bomba serta pasukan penyelamat di kawasan sekitar Bentong dan Goh Tong Jaya.
“Kami amat teruja dan berbesar hati diberikan peluang memperingati dua hari istimewa dalam Mei ini dengan membalas jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.
"Kami berharap mereka akan mendapat pengalaman yang penuh makna dan tidak dapat dilupakan bersama keluarga," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sepanjang konsert berdurasi lebih sejam itu, Ella mempersembahkan rangkaian lagu ikonik daripada album Ella USA.
Anak jati kelahiran Klang, Selangor itu turut mendendangkan lagu popular lain seperti Layar Impian, Pengemis Cinta, Sembilu, Pedih, Retak, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Permata Biru, Kitalah Bintang dan Standing in the Eyes of the World. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram