
RATU rock negara, Ella, menghiburkan lebih 4,000 peminat menerusi persembahan bertenaga sempena Ella USA 30th Anniversary Concert yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, pada Sabtu.
Antara momen paling mencuri perhatian adalah ketika Ella, atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 59, menyampaikan lagu Nuri, salah satu single popular daripada album Ella USA yang diterbitkan pada 1994.
Lagu berkenaan disambut sorakan gemuruh peminat yang turut menyanyi bersama, sekali gus mengimbau era kegemilangan ratu rock tanah air itu.
BACA LAGI: Ratu Rock, pemuzik legenda Jepun bersatu! Kyoji Yamamoto 'goreng' gitar di konsert 30 tahun Ella USA
Menambah keistimewaan konsert bersejarah itu, Ella turut diiringi penerbit album Ella USA, Kyoji Yamamoto, yang juga pemain gitar legenda dari Jepun.
Menurut Ella, Kyoji diterbangkan khas dari Hawaii demi menjayakan persembahan itu.
"Kyoji banyak memberi pengaruh terhadap perkembangan karier seni saya sejak kami mula bekerjasama pada 1992.
"Saya sangat berbesar hati apabila Kyoji sanggup menempuh perjalanan panjang dari Hawaii, transit di Tokyo terlebih dahulu sebelum tiba di Malaysia,” kata Ella ketika berucap pada malam konsert tersebut.
Gabungan Ella dan Kyoji Yamamoto nyata memberikan sentuhan luar biasa dan magis kepada persembahan Ella USA 30th Anniversary Concert. pic.twitter.com/3bEoA63Nuo
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) May 18, 2025
Gabungan dua figura muzik berpengaruh itu nyata memberikan sentuhan luar biasa dan magis kepada persembahan tersebut.
Bercerita lanjut, Ella turut berkongsi kisah suka dan duka sepanjang penghasilan album Ella USA di Amerika Syarikat (AS) pada 1994.
Katanya, ia bukanlah satu perjalanan yang mudah dan ada cabarannya yang tersendiri sepanjang berada di sana.
"Ada beberapa pengalaman yang saya tidak boleh lupakan seperti pernah berjalan dalam kesejukan untuk ke studio rakaman, selain merasai situasi gempa bumi," ujarnya.
Namun, disebalik cabaran itu, Ella mengakui apa yang pernah dilaluinya ketika rakaman album adalah pengalaman sangat berharga dan amat dibanggakan oleh dirinya kerana ia tidak boleh dibeli di mana-mana.
Persembahan Ratu Rock Negara, Ella pada Ella USA 30th Anniversary Concert yang berlangsung di Genting Highlands pada Sabtu pic.twitter.com/UyVvmGQu0T
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) May 18, 2025
Ella turut meluahkan rasa syukur diberikan kesempatan mendirikan rumah tangga pada 2012 dengan suaminya, Azhar Husaini Ghazali yang turut membuat penampilan istimewa pada konsert tersebut.
"Nasib baik sempat berkahwin," katanya dengan nada bergurau.
Sepanjang konsert berdurasi lebih sejam itu, Ella mempersembahkan rangkaian lagu ikonik daripada album Ella USA.
Anak jati kelahiran Klang, Selangor itu turut mendendangkan lagu popular lain seperti Layar Impian, Pengemis Cinta, Sembilu, Pedih, Retak, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Permata Biru, Kitalah Bintang dan Standing in the Eyes of the World.
Konsert tersebut bukan sahaja meraikan 30 tahun legasi album bersejarah itu, tetapi juga membuktikan Ella masih kekal relevan dan terus menawan hati peminat merentas generasi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram