
ERA moden yang semakin mengutamakan kelestarian dan gaya hidup minimalis, hobi membeli barang terpakai atau 'thrifting' semakin mendapat tempat dalam hati ramai.
Terutamanya generasi muda apabila mereka bijak berbelanja dan cintakan gaya unik.
Bukan sekadar satu cara menjimatkan wang, 'thrifting' juga membuka ruang untuk ekspresi diri melalui pemilihan perabot dan dekorasi yang mempunyai karakter tersendiri.
BACA LAGI: [VIDEO] Langsir 'outdoor' persis hotel terkemuka, 'auto-blind' beri privasi di ruang dapur
BACA LAGI: Bayar lebih tapi 'loan' rumah tak juga kurang? Ini penjelasan pakar literasi kewangan
Salah seorang yang aktif berkongsi minat itu di media sosial ialah Izzsabrina, apabila menjadikan aktiviti mencari perabot terpakai sebagai rutin hujung minggu kegemarannya.
Bagi Izzsabrina, pemilik akaun Instagram @Izzsabrina, hujung minggu paling seronok adalah apabila dapat meluangkan masa menjelajah gudang dan stor perabot terpakai untuk mencari ‘permata tersembunyi’.
Menurutnya, membeli perabot terpakai bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi turut membuka peluang untuk memiliki barangan unik yang tidak dijual di kedai biasa.
“Jika tahu di mana dan bagaimana nak cari, anda akan terjumpa barang-barang 'rare' dengan harga yang jauh lebih rendah.
"Tapi kena ada skil juga terutamanya dalam tawar-menawar," katanya sambil berseloroh bahawa kemahiran itu dipelajarinya daripada ibu bapa sendiri.
Dalam salah satu perkongsiannya di Instagram, Izzsabrina membawa pengikutnya meninjau sebuah gudang terpakai bernama Unearth di Kampung Melayu Subang.
Di gudang tersebut, pelbagai jenis perabot tersedia dari meja kopi, kabinet, kerusi makan, hingga piano!
Malah ada juga perabot dari jenama popular seperti IKEA yang masih kelihatan seperti baharu.
Namun, dia turut mengingatkan pembeli agar berhati-hati dan periksa dengan teliti setiap barang, adakah ada kerosakan besar atau kecil?
Adakah masih kukuh untuk digunakan? Contohnya, dia tidak mengesyorkan membeli tilam terpakai melainkan anda sanggup cuci dan sterilkan dahulu.
Salah satu item kegemarannya ialah meja tulis bergaya mid-century yang dibeli dengan inspirasi daripada sebuah sudut deko minimalis moden.
Melalui foto ‘inspo’ dikongsikannya, kita dapat lihat bagaimana barangan lama boleh diberi nafas baharu dan diubah menjadi perabot yang penuh karakter serta bergaya.
Ia sesuai untuk mereka yang sukakan sentuhan peribadi dalam dekorasi rumah.
Selain menjadikan 'thrifting' sebagai hobi, Izzsabrina juga menggunakan platformnya bagi memberikan inspirasi kepada pengikut tentang kelebihan barangan terpakai, serta bagaimana untuk mengolah idea dekorasi yang berpatutan tetapi tetap menawan.
Tambahnya lagi, jika ramai suka konten seperti ini, jangan malu tinggalkan komen “nak lagi” supaya dia ada alasan untuk ajak suami ke gudang perabot lagi!
Dengan sedikit kreativiti, ketekunan dan keberanian untuk mencuba sesuatu luar kebiasaan, aktiviti 'thrifting' boleh menjadi pengalaman yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memuaskan hati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram