
MEMILIKI rumah sendiri sering kali dianggap sebagai satu pencapaian besar dalam kehidupan yang bagai menandakan tahap kestabilan, kematangan dan perancangan jangka panjang.
Namun di sebalik impian dan perancangan yang rapi, ada realiti jarang dibincangkan oleh orang ramai.
Apakah perkara yang jarang dibincangkan itu? Ia ialah penyesalan selepas membeli rumah. Tidak dinafikan perkara sebegitu timbul dalam kalangan sesetengah home owners.
BACA LAGI: [VIDEO] Langsir 'outdoor' persis hotel terkemuka, 'auto-blind' beri privasi di ruang dapur
BACA LAGI: Bayar lebih tapi 'loan' rumah tak juga kurang? Ini penjelasan pakar literasi kewangan
Bukan kerana tidak mampu bayar atau tersilap perancangan kewangan, tetapi ia disebabkan perkara-perkara tak dijangka yang datang kemudian hari.
Ia seperti masalah kesihatan, perubahan hidup, konflik jiran atau realiti pasaran hartanah yang tidak menyebelahi pembeli.
Dalam satu hantaran media sosial tular baru-baru ini, ramai pengguna berkongsi kisah mereka dan realiti sebenar yang membuka mata ramai pihak.
Kisah itu membuatkan kita sedar bahawa membeli rumah bukan sekadar soal lokasi dan harga, tetapi kejadian masa depan yang sukar dijangka.
Salah satu kisah mencuri perhatian adalah daripada pengguna bernama Lipan Promax yang berkongsi cerita rakannya menyesal membeli rumah dua tingkat.
Selepas lima tahun menghuni, rakannya mengalami masalah kesihatan iaitu sakit lutut yang membuatkan tangga menjadi musuh utama.
"Nak panjat pun dah tak mampu," katanya.
Siapa sangka, ciri rumah yang dulunya nampak gah boleh jadi beban apabila faktor usia dan kesihatan mula menjejaskan gaya hidup.
Kisah lain daripada Rea Azzurin pula apabila dia menyesal membeli unit kondo dua bilik semasa peringkat pecah tanah pada harga RM688,000.
Tapi selepas projek siap, pemaju menjual unit yang sama harga serendah RM500,000 lengkap dengan perabot dan dapat extra parkir percuma.
"Sekarang selepas 10 tahun, nak jual balik RM500,000 pun susah,” katanya dalam nada kecewa apabila pelaburannya tidak mendatangkan keuntungan, malah sukar dilepaskan kerana persaingan dengan projek kondominuim baharu sekitar kediamannya.
Realti penyesalan membeli rumah jarang dibincangkan secara umum oleh orang ramai. — Gambar Hiasan
Bagi Kioh28, penyesalan datang dari segi suasana kejiranan apabila dia yang memilih rumah teres akhirnya terperangkap dengan masalah jiran tetangga.
Antara masalah yang dihadapinya apabila terpaksa merebut tempat letak kereta dan jiran belakang rumah buat parkir lori sendiri.
"Untuk ketenangan fikiran, tolong pilih yang strata,” katanya.
Strata mungkin datang dengan yuran pengurusan, tapi bagi sesetengah orang, ketenteraman dan peraturan yang jelas adalah lebih berharga.
Lebih menyentuh hati, kisah Noor Hazirah tentang ibunya yang menyesal membina sebuah banglo di kampung dengan harapan akan tinggal di sana selepas bersara bersama arwah ayah.
Malangnya, takdir tidak menyebelahi keluarga mereka apabila ayahnya meninggal sebelum sempat bersara.
Kini rumah itu dibiarkan usang, dan si ibu tidak berani tinggal seorang diri.
"Mak pesan jangan rancang terlalu jauh, kita tak tahu masa depan," katanya sambil menzahirkan rasa sedih.
Paling memilukan, perkongsian daripada Syafiqk yang membeli rumah 'corner lot' demi keselesaan keluarga.
Namun hidup berubah apabila pindah ke negeri lain dan perkahwinannya juga berakhir dengan perceraian.
Kini rumah tersebut kosong tidak berpenghuni tetapi masih perlu membayarnya setiap bulan.
"Berbakti kepada bank sahaja,” tulisnya sinis.
Apa yang dianggap sebagai pelaburan kasih sayang bertukar menjadi beban emosi dan kewangan.
Kisah-kisah itu membuka mata ramai tentang penyesalan membeli rumah bukan hanya soal nilai atau bayaran bulanan, tetapi tentang gaya hidup, kesihatan, kejiranan, perancangan keluarga dan realiti kehidupan yang sentiasa berubah.
Kadangkala, keputusan dibuat dengan niat terbaik juga boleh membawa kepada hasil yang tidak dijangka.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita lebih berhati-hati, bukan hanya dalam menilai harga rumah, tetapi juga dalam merancang masa depan lebih fleksibel, mengambil kira pelbagai senario kehidupan yang mungkin berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram