
RAMAI pemilik rumah menyangka bahawa dengan membayar lebih setiap bulan, mereka akan mempercepatkan tempoh bayaran balik pinjaman dan mengurangkan faedah yang dikenakan.
Namun, ramai juga yang terkejut apabila mendapati baki pinjaman rumah mereka seolah-olah tak berubah walaupun selepas membuat bayaran tambahan berbulan-bulan.
Sebenarnya, masalah itu bukan disebabkan oleh kesilapan teknikal atau penipuan pihak bank, tetapi berpunca daripada salah faham mengenai cara bayaran pinjaman dikira dan diproses.
BACA LAGI: Dari usia bayi hingga remaja, ini panduan komunikasi berkesan dengan anak ikut peringkat umur
BACA LAGI: Tukar papan pemotong plastik, kuali teflon! Suri rumah kena peka ganti perkakas dapur bebas toksin
Fahami perbezaan antara bayaran pendahuluan dan bayaran pokok supaya usaha anda untuk menjadi bebas hutang tidak sia-sia.
Ramai sebenarnya tidak sedar bahawa cara bayaran dibuat memainkan peranan besar dalam menentukan keberkesanan strategi ini.
Masalahnya terletak pada perbezaan antara 'bayaran pendahuluan' dan 'bayaran pokok'.
Dalam kebanyakan kes, apabila anda bayar lebih daripada jumlah ansuran bulanan, bank akan menganggap lebihan itu sebagai bayaran untuk bulan-bulan akan datang.
Ia bukan untuk mengurangkan baki hutang pokok, akibatnya, pinjaman anda masih kekal pada jumlah asal walaupun anda telah berbelanja lebih.
Bagi benar-benar mengurangkan baki pinjaman, anda perlu membuat bayaran pokok, iaitu pembayaran yang dimasukkan terus ke dalam jumlah hutang asal.
Ini penting kerana faedah pinjaman dikira setiap hari berdasarkan baki pokok yang masih belum dibayar.
Semakin rendah baki itu, semakin sedikit faedah yang akan dikenakan.
Sebagai contoh, jika baki pinjaman anda RM200,000 dengan kadar faedah empat peratus setahun, anda akan dikenakan kira-kira RM21.92 sehari.
Tetapi jika anda membuat bayaran pokok sebanyak RM10,000, baki turun kepada RM190,000 dan faedah harian juga turun kepada RM20.82 sekali gus menjimatkan RM1.10 sehari atau lebih RM400 setahun.
Namun, tidak semua jenis pinjaman rumah membenarkan bayaran pokok dilakukan secara langsung.
Pinjaman jenis semi-fleksi biasanya membolehkan anda melakukannya, asalkan anda ikut prosedur ditetapkan pihak bank.
Bagi pinjaman penuh fleksi pula, kaedah mungkin lebih kompleks dan bergantung kepada sistem bank masing-masing, seperti keperluan memasukkan dana ke akaun yang dihubungkan dengan pinjaman.
Jadi, jika anda bercadang untuk membuat bayaran tambahan, sama ada daripada bonus, simpanan atau pendapatan sampingan, anda perlu nyatakan kepada pihak bank bahawa bayaran tersebut adalah untuk mengurangkan pokok pinjaman.
Jika tidak, ia hanya akan digunakan untuk menampung ansuran akan datang tanpa memberi kesan kepada jumlah hutang sebenar.
Dengan langkah mudah itu, perkongsian daripada pendidik kewangan, Financial Faiz di TikTok boleh mempercepatkan proses melangsaikan hutang rumah dan berjimat dalam jangka masa panjang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram