Tak perlu naik turun tangga, ruang dobi di tingkat atas lebih praktikal, mudahkan urusan kerja


  • Relaks
  • Selasa, 13 Mei 2025

Wawa berkongsi pengalaman memiliki ruang dobi di tingkat atas yang bukan sahaja praktikal tetapi juga sangat memudahkan kehidupan harian. — Instagram/@wawalittlehome

RUANG dobi biasanya ditempatkan di bahagian bawah rumah atau di kawasan dapur.

Namun, trend meletakkan ruang dobi di tingkat atas semakin mendapat perhatian, terutamanya bagi rumah yang mempunyai bilik tidur di aras sama.

Salah seorang yang berjaya merealisasikan idea tersebut ialah pemilik akaun Instagram @Wawalittlehome.

BACA LAGI: 'Rumah idaman tapi emosi terbeban', realiti apabila kediaman impian bertukar jadi penyesalan

BACA LAGI: [VIDEO] Langsir 'outdoor' persis hotel terkemuka, 'auto-blind' beri privasi di ruang dapur

Dengan gaya santai, Wawa berkongsi pengalaman memiliki ruang dobi di tingkat atas yang bukan sahaja praktikal tetapi juga sangat memudahkan kehidupan harian.

Memiliki ruang dobi di tingkat atas rumah mungkin kedengaran asing bagi sesetengah orang, namun bagi Wawa, ia adalah impian yang sekian lama dinanti-nantikan.

Wawa menceritakan bagaimana dia berasa sangat bersyukur apabila akhirnya dapat menyiapkan 'laundry area' di tingkat atas rumahnya.

Dengan semua bilik tidur terletak di atas, keputusan untuk meletakkan mesin basuh, mesin penggering, tempat seterika dan ruang simpan pakaian di aras yang sama sangat memudahkan.

Segala urusan membasuh, mengering, melipat dan menyimpan baju dapat diselesaikan dalam satu kawasan sahaja, tanpa perlu turun naik tangga lagi.

Kehidupan seharian menjadi lebih teratur dan tidak lagi terasa penat semata-mata kerana perlu mengangkut baju dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain.

Walaupun kerja membasuh baju sering dilakukan oleh suami, dia tetap merasai perubahan besar dari segi pengurusan masa dan tenaga.

Ruang yang selama ini jarang ditunjukkan di media sosial, kini menjadi antara sudut kegemarannya.

Namun seperti diceritakannya dengan nada berseloroh, ruang itu biasanya penuh dengan pakaian yang menunggu untuk disimpan kerana 'wardrobe' masih belum siap.

Semasa rakaman video dilakukan, dia sempat mengemas sedikit supaya lebih kemas dan ‘presentable’, tapi hakikatnya, itulah realiti yang dihadapi ramai di rumah masing-masing.

Perkongsian itu turut diselitkan dengan kisah lucu apabila video reels tersebut dimuat naik sebelum sempat dimasukkan lagu latar belakang.

 

 

Untuk info, Wawa bukanlah asing dalam dunia dekorasi rumah kerana sentuhan kreatif dengan keunikan susun atur rumahnya pernah menarik perhatian pelbagai media serta rancangan televisyen seperti RTM Hello Suri, RTM Rumah Viral, Projek Ruang, Kosmo!, Majalah Keluarga, Qanvast dan banyak lagi.

Namun, perkongsian seperti itu menunjukkan sisi sebenar kehidupan, jauh dari sempurna tetapi penuh keikhlasan dan itulah yang menjadikannya lebih istimewa.

Membina ruang 'laundry' di tingkat atas bukan sekadar soal estetik atau kemewahan, tetapi tentang bagaimana kita boleh menjadikan kehidupan lebih mudah, teratur dan sesuai dengan gaya hidup seharian.

Dan bagi Wawa, ruang kecil itu memberi impak yang sangat besar jika bijak dimanfaatkan sebaik-baiknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram