
"SEJAK dari kecil saya memang suka petik bunga cantik-cantik dan kumpulkannya dalam pasu.
"Orang kata saya pelik sebab ada hobi macam ini dan cakap bunga hidup akan mati tapi bagi saya ia adalah terapi,”
Demikian pendapat Addyanna Syafira Azuan apabila ditanya mengenai hobi gubahan bunga yang menjadi sumber pendapatannya kini.
BACA LAGI: [VIDEO] Dulu suka-suka lentikkan bulu mata rakan, kini jadi pendapatan sampingan, miliki studio mini
BACA LAGI: [VIDEO] Trek semakin licin akibat hujan lebat tak halang usaha tawan puncak Gunung Ledang
Siapa sangka perkara yang mungkin tidak dilihat sebagai hobi buat sesetengah orang mengubah jalur hidup wanita berusia 29 tahun itu untuk menjadi pengubah bunga sepenuh masa.
Anak jati Terengganu itu mula obses dengan aktiviti pengubahan bunga sejak 2020.
Contoh gubahan hasil sentuhan tangan Addyanna dengan menggunakan bunga hidup.
“Biarlah orang kata hobi saya pelik, tapi sekarang ni saya dapat banyak permintaan dan ia kini menjadi sumber pendapatan," katanya.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu bagaimanapun berkata, pada awalnya dia tidak terfikir untuk menjadikan hobi tersebut sebagai suatu perniagaan.
“Saya gubah-gubah bunga ini mulanya sebab nak bagi ibu sempena Hari Ibu dan Hari Guru memandangkan ibu saya seorang guru.
"Sehinggalah hari jadi adik beradik, kawan-kawan pun saya beri bunga sampai mereka dah tunggu setiap tahun, apa bunga saya nak bagi kali ini,” katanya.
Addyanna menganggap hobi mengumpul dan mengubah bunga menjadi satu terapi dalam kehidupannya.
Addyanna berkata, dia mendapatkan bekalan bunga di sekitar Jalan Petaling kerana harganya jauh lebih murah.
Menurut graduan Universiti Malaya itu, bunga hidup ibarat dapat menyerap emosi yang terganggu dan dianggap seperti ada 'soul' atau roh.
“Ramai yang tanya kenapa gubah bunga hidup, dahlah mahal, lepas itu layu dan mati.
"Tapi bagi saya setiap bunga memiliki jiwa. Ia dapat 'serap' stres, yelah kalau macam penat seharian dengan hal anak lagi, warna-warni bunga itu dah jadi terapi mata buat saya.
“Bunga plastik nampak keras dan palsu. Ia nak ikutkan tak boleh hidup dalam dunia manusia,” jelasnya.
Antara peralatan yang digunakan Addyanna untuk mencantikkan gubahan bunga.
Menapak dalam dunia perniagaan gubahan bunga bermula dengan menjadikan platform Instagram sebagai 'kedai'.
“Mula-mula dulu saya habiskan RM200 untuk beli bunga, lepas itu jadikannya sebagai 'give away' di Instagram dan bertitik tolak dari itu saya terus mendapat permintaan tinggi untuk majlis keraian.
“Kemudian saya terus belajar cara gubah bunga dan masuk kelas kemahiran untuk kembangkan lagi skil serta teknik gubahan,” katanya yang pernah terlibat bersama pasukan pakar bunga negara dalam gubahan bunga dekorasi makan tetamu kenaam baru-baru ini.
Ikuti dengan lebih lanjut perkongsian perjalanan hobi Addyanna hingga bergelar usahanita bunga dalam segmen hobi di Majoriti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram