'PERANG' sudah berakhir.
Bunyinya mungkin terlalu berat tapi itu ungkapan yang sesuai untuk digambarkan bagi tamatnya era konflik antara manusia dan haiwan liar terutamanya gajah di Sabah.
Pengorbanan untuk mengakhiri 'perang' ini bukan mudah, sebaliknya melibatkan penat lelah yang berterusan serta kesanggupan melepaskan keuntungan puluhan jutaan ringgit setahun.
Segalanya bermula kira-kira 12 tahun lalu apabila syarikat Sabah Softwood Berhad (SSB) mengambil langkah 'berdamai' dengan gajah pygmy atau lebih dikenali sebagai gajah Borneo dengan membina laluan khas menghubungkan dua kawasan hutan utama yang merupakan habitat haiwan liar.
Beroperasi di kawasan seluas 60,000 hektar, SSB mengusahakan tanaman sawit melibatkan tanah sebesar 30,000 hektar termasuk dua kilang pemprosesan minyak sawit mentah manakala baki 20,000 hektar lagi membabitkan penanaman pokok kertas dan menempatkan sebuah kilang kayu.
Konflik antara manusia dan gajah ini mula berlaku pada 2004 apabila haiwan tersebut menceroboh kawasan penempatan dan merosakkan tanaman sehingga menyebabkan pekerja SSB berasa takut dan terancam.
Namun gajah tidak boleh disalahkan kerana haiwan ini juga terkesan dengan projek tanaman yang diusahakan sehingga menyaksikan habitat mereka terjejas selain kesukaran mencari sumber makanan.
Di sini wujudnya Koridor Hidupan Liar (Wildlife Corridor) Brumas yang pertama di Malaysia, sebagai projek perintis yang berperanan untuk melindungi hidupan liar daripada ancaman luar serta mengelakkan tercetusnya konflik dengan manusia.
Projek koridor ini melibatkan perjalanan sejauh 13.89 kilometer panjang dengan lebar 400 hingga 800 meter, membabitkan kawasan seluas 1,067 hektar.
'Jambatan perdamaian' ini membantu pergerakan hidupan liar terutamanya gajah Borneo merentasi kawasan ladang sawit dan pokok kertas milik SSB yang terletak antara kawasan Hutan Simpan Kulumpang dan Hutan Simpan Ulu Segama.
Bukan saja gajah, laluan ini juga memberi manfaat pemantauan terhadap banyak lagi spesies terancam seperti harimau bintang dan beruang matahari.
Dulunya, SSB menggunakan pelbagai kaedah mitigasi jangka pendek dan jangka panjang bagi mencegah kehadiran haiwan liar yang sering merosakkan tanaman sehingga mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit setahun.
Teknik pemindahan gajah, letupan meriam, membina sistem parit, kawalan setiap malam dan pemasangan lampu minyak antara taktik jangka pendek yang telah digunakan SSB selepas syarikat itu mula beroperasi 1973.
Sanggup rugi jutaan ringgit setahun
Untuk kaedah jangka panjang, SSB menggunakan kaedah pemasangan wayar elektrik di kawasan berisiko tinggi seperti kawasan perladangan baharu dan kawasan penempatan pekerja.
Langkah-langkah ini ternyata tidak cukup memastikan tahap keselamatan kedua-dua pihak terjamin, terutamanya dalam mengelakkan berlakunya pertembungan yang boleh mencetuskan risiko kehilangan nyawa.
Maka, pembinaan Wildlife Corridor Brumas adalah langkah terbaik yang turut diiktiraf Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia walaupun SSB perlu 'mengorbankan' sejumlah kawasan tanaman yang sepatutnya mampu memberi pulangan sehingga RM5 juta setahun bagi tanaman sawit untuk tempoh satu pusingan.
Jika tanaman kertas pula, SSB boleh menjana keuntungan sehingga RM25 juta bagi tempoh lima tahun tetapi syarikat itu memilih untuk mementingkan soal kebajikan hidupan liar yang wajar mendapat hak sama rata seperti manusia.
Kawasan Koridor Hidupan Liar Brumas mempunyai nilai ekonomi sehingga puluhan juta ringgit. — MPOGCF
Seperti dijelaskan Pengurus Bahagian Kelestarian SSB, Mohd Hafizzul Samutu, pihak syarikat milik Yayasan Sabah itu terpaksa menanggung kerugian RM500,000 setahun akibat kerosakan tanaman yang dicetuskan gajah.
Bukan setakat tanaman, kehadiran gajah di kawasan penempatan pekerja juga mengakibatkan kemusnahan harta benda yang menelan kerugian ribuan ringgit selain mengundang rasa takut kepada penduduk setempat dan pekerja.
"Sejak 2015, kami sudah mendapati kerosakan daripada hidupan liar ini sekitar RM500,000 setahun.
Hafizzul berkata, konflik dengan gajah di kawasan perladangan SSB tidak lagi wujud susulan terbinanya Koridor Hidupan Liar Brumas.
"Salah satu mitigasinya yang kami telah rencangkan dengan pihak atasan dan WWF yang membuka koridor hidupan liar yang menghubungkan dua hutan simpan besar iaitu Ulu Kulumpang dan Ulu Segamat.
"Selepas koridor ini diwujudkan, kami mendapati antara 2018 hingga 2023 dan 2024 ini, kerosakan yang disebabkan oleh hidupan liar ini telah menurun dengan drastik, iaitu purata RM5,000 dalam setahun," kata Hafizzul.
Era baharu hubungan gajah-manusia
Menyentuh soal penurunan konflik antara manusia dan gajah sejak koridor ini dibuat, Hafizzul berkata, kedua-dua pihak kini sudah 'bekerjasama' memandangkan haiwan itu tidak lagi terkejut atau takut apabila melihat komuniti SSB termasuk pekerja dan keluarga pekerja di kawasan tersebut.
"Jika gajah ini nak lalu, mereka akan lalu sahaja (tanpa menggangu manusia).
"Malah kadang-kadang dalam kawasan tanaman, ketika kami sedang buat chipping (proses pemotongan dahan atau buah kelapa sawit), gajah ini akan bertindak sebagai mandur.
"Dia akan jaga eskavator. Jika escavator berhenti awal, dia (gajah) akan gerakkan jentera itu seperti sedang bekerja. Jadi memudahkan semua," katanya.
Gajah tidak lagi terkejut atau takut apabila melihat manusia.
'Perjanjian damai' ini tidak akan dicapai tanpa penglibatan pihak-pihak berkepentingan seperti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) yang amat dekat dengan industri minyak sawit demi memastikan sektor perladangan itu tidak menjejaskan ekosistem dan alam sekitar.
Berperanan sebagai sebuah entiti yang mementingkan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan di kawasan perusahaan sawit sejak 2016, MPOGF telah menjalankan hampir 30 projek kerjasama dengan pihak berkepentingan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak serta anggota industri minyak sawit termasuk SSB.
Seperti di Sabah, MPOGCF telah menjalankan projek pertamanya yang melibatkan penanaman sejuta pokok sebagai sebahagian projek rehabitilasi orang utan di Lahad Datu yang mengambil masa 10 tahun, sekali gus menjadi projek paling lama buat yayasan itu.
MPOGCF, watak penting di sebalik tabir
Menceritakan lebih mendalam tentang peranan yayasan tersebut, Pegawai Eksekutif Pemuliharaan MPOGCF, Daniel Pamin berkata, projek kedua membabitkan tinjauan populasi gajah yang amat penting bagi menjayakan Pelan Tindakan Gajah 2020-2029 yang diluluskan empat tahun lalu.
Jelasnya, data-data tersebut amat penting dalam pengurusan gajah dan orang utan dengan keperluan memasang alat pengesan kolar gajah bagi memantau pergerakan haiwan itu selain memasang kamera perangkap.
"Kita juga melakukan tinjauan menerusi helikoper untuk memantau kedua-dua spesies tersebut.
Daniel menjelaskan sokongan yang dihulurkan MPOGCF dalam memastikan habitat hidupan liar di negara ini tidak terjejas.
"Teknologi terbaharu yang kita gunakan adalah dron pengesan haba untuk melihat keberadaan orang utan liar," tambahnya.
Menyebut soal kos, Daniel berkata, MPOGFC telah membelanjakan RM2.7 juta bagi pembinaan klinik dan kandang gajah manakala RM1.2 juta lagi diperuntukkan untuk projek tinjauan populasi gajah.
"Untuk projek gajah bersama dengan SSB, kita membelanjakan hampir RM500,000, juga melibatkan kerjasama dengan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dalam mengkaji penamanam rumput gajah atau dikenali Napier Grass.
Hafizzul (tiga dari kanan) menerima cenderahati daripada Pengurus Komunikasi Strategik MPOGFC, Tuan Nasuri Tuan Ismail ketika Lawatan Kerja Media ke Koridor Hidupan Liar Brumas, baru-baru ini.
"Napier Grass ini kita gunakan disebabkan ia cepat tumbuh dan merupakan makanan rutin gajah. Rumput gajah ini kita tanam di sepanjang koridor dekat ladang SSB," ujarnya sambil menambah projek kerjasama dengan SSB dan UPM itu akan dijalankan bagi tempoh dua tahun sehingga 2025.
Dari segi pencapaian, Daniel amat berpuas hati dengan peranan MPOGCF dalam projek melindungi hidupan liar walaupun baru terlibat seawal 2021.
"Kami tidak boleh cepat berpuas hati dengan pencapaian sedia ada kerana masih banyak perkara yang perlu dilakukan.
"Untuk bekerjasama, kami perlu mendapatkan kepercayaan daripada pihak berkepentingan dan masyarakat untuk terlibat sama dalam projek-projek ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram