
WARNA memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam hiasan dalaman.
Ia bukan sekadar untuk mencantikkan ruang, tetapi juga boleh mempengaruhi emosi dan tahap keselesaan seseorang.
Warna yang betul boleh menjadikan sesebuah ruang terasa tenang, damai dan menyenangkan.
BACA LAGI: Dinding krim, perabot beige: Kenapa rumah milenial di Singapura nampak serupa?
Namun, ada juga warna-warna tertentu boleh mencetuskan stres atau kegelisahan jika digunakan secara berlebihan atau di ruang tidak sesuai.
Sebenarnya, reaksi terhadap warna boleh menjadi sangat peribadi apabila satu tona yang menenangkan bagi seseorang mungkin mengganggu orang lain.
Ia juga bergantung kepada pengalaman lampau dan berkaitan emosi masing-masing.
Menurut pakar psikologi dan pereka dalaman, terdapat beberapa warna yang cenderung memberi kesan negatif kepada kesejahteraan mental jika tidak digunakan dengan berhati-hati.
Berikut adalah lima warna sering dikaitkan dengan peningkatan tahap stres dan bagaimana anda masih boleh menggunakannya secara bijak tanpa mengganggu ketenangan rumah.
Warna merah mempunyai kesan rangsangan kuat dan kurang sesuai jika digunakan secara menyeluruh. — Freepik
1. Merah
Ia merupakan antara warna paling kerap disebut sebagai pencetus stres dan dikaitkan dengan peningkatan kadar degupan jantung, tekanan darah dan perasaan gelisah.
Warna merah mempunyai kesan rangsangan kuat dan kurang sesuai jika digunakan secara menyeluruh dalam ruang yang bertujuan untuk memberikan ketenangan, seperti bilik tidur atau ruang keluarga.
Penggunaan berlebihan boleh mengganggu suasana damai dan menyebabkan rasa gelisah atau tidak selesa.
Sebaiknya, warna itu digunakan secara sederhana, sebagai aksen atau elemen hiasan kecil bagi menambah seri tanpa menjejaskan ketenangan ruang.
Apabila digunakan dalam kuantiti kecil atau di ruang yang aktif seperti dapur dan ruang makan, merah boleh memberikan tenaga positif.
Gunakan versi yang lebih lembut seperti merah burgundy untuk kesan lebih seimbang.
Kuning boleh mencetuskan rasa gelisah dan cepat marah. — Freepik
2. Kuning terang
Kuning sering dilihat sebagai warna yang membangkitkan keceriaan dan kehangatan.
Tetapi apabila terlalu terang atau digunakan secara meluas, ia boleh mencetuskan rasa gelisah dan cepat marah.
Pakar mencadangkan agar kuning digunakan sebagai warna aksen contohnya pada jubin dapur atau aksesori kecil.
Jika ingin menggunakannya di bilik tidur atau ruang berehat, pilihlah tona lebih lembut seperti mustard atau kuning keemasan yang mempunyai unsur kehangatan dan tidak terlalu mencolok.
Kajian menunjukkan suasana yang terlalu putih boleh meningkatkan hormon stres dalam badan. — Freepik
3. Putih
Warna putih terang memang popular kerana ia memberi kesan bersih, luas dan moden.
Namun, apabila digunakan secara menyeluruh, ia boleh mencetuskan perasaan seperti berada dalam persekitaran hospital yang dingin, kosong dan tidak mesra.
Kajian menunjukkan suasana yang terlalu putih boleh meningkatkan hormon stres dalam badan.
Untuk mengelakkan kesan itu, gabungkan putih dengan warna-warna lembut lain seperti beige atau off-white dan pastikan pencahayaan semula jadi mencukupi agar ruang tetap terasa hidup dan selesa.
Elak penggunaan neon di ruang tidur atau bilik bacaan yang memerlukan ketenangan. — Freepik
4. Neon
Warna neon seperti hijau limau, merah jambu terang atau oren menyala boleh kelihatan menyeronokkan, tetapi ia sebenarnya memberi tekanan kepada sistem deria visual kita.
Kesan itu boleh merangsang sistem saraf secara berlebihan dan menyebabkan badan bertindak seperti dalam keadaan tertekan.
Jika anda tetap ingin menggunakannya, hadkan kepada ruang yang aktif seperti bilik seni, bilik permainan atau studio kreatif.
Elakkan penggunaan neon di ruang tidur atau bilik bacaan yang memerlukan ketenangan.
Keseimbangan adalah kunci jika ingin menggunakan hitam. — Freepik
5. Hitam pekat
Warna hitam memang sinonim dengan gaya elegan dan moden, tetapi jika digunakan secara berlebihan, ia boleh menyebabkan ruang terasa berat, suram dan menyesakkan.
Pakar mencadangkan supaya warna hitam digunakan sebagai aksen misalnya pada perabot, pemegang pintu atau bahagian tertentu dinding dan bukan sebagai pilihan utama.
Keseimbangan adalah kunci jika ingin menggunakan hitam.
Gabungkan dengan warna-warna cerah atau pencahayaan yang baik untuk mengelakkan suasana muram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram