Kerap bekerja dari rumah, pembahagi ruang antara tip wujudkan 'workstation' selesa


  • Relaks
  • Rabu, 30 Apr 2025

Individu yang kerap bekerja dari rumah perlu memastikan ruang kerja mereka disusun dengan betul. — Gambar hiasan/Agensi

SEKIRANYA anda kerap bekerja dari rumah, pastikan ruang kerja disusun dengan betul bagi mengelakkan ketegangan serta tekanan pada badan yang boleh menyebabkan kesakitan kemudian hari.

"Pastikan monitor berada pada kedudukan yang betul dengan ia sepatutnya diletakkan supaya anda boleh melihat ke terus ke arah skrin dalam keadaan santai," kata Andreas Stephan daripada VBG, sebuah syarikat insurans kemalangan di Jerman.

Katanya, "Kedudukan itu seperti anda sedang membaca buku."

BACA LAGI: Pernah dibeli pada harga RM57, lukisan cat minyak artis British cecah RM5.8 juta

BACA LAGI: Kelas ala kafe hipster, pelajar SMK Kubang Kerian lebih semangat, teruja belajar

Menurut Stephan lagi, sebaiknya monitor juga dicondongkan sedikit agar anda dapat melihatnya secara menegak.

Jarak antara bahagian bawah skrin dan tepi meja pula sepatutnya seminimum yang mungkin.

Namun begitu, jarak antara mata anda dan skrin haruslah sekurang-kurangnya 50 hingga 70 sentimeter.

Elakkan skrin memantulkan cahaya dari tingkap atau sumber cahaya lain kerana ia boleh menyebabkan ketegangan mata. — Gambar hiasan

Sebaiknya, cahaya siang masuk dari sisi dan elakkan skrin memantulkan cahaya dari tingkap atau sumber cahaya lain kerana ia boleh menyebabkan ketegangan mata.

Kerusi yang digunakan di rumah pula sebaiknya bersifat ergonomik dengan penyandar belakang perlu menyokong bahagian belakang badan dalam semua posisi duduk.

Untuk mengurangkan tekanan, gunakan keseluruhan tempat duduk. "Kalau boleh, jangan duduk di hujung kerusi sahaja," kata Stephan.

Jika kerusi anda mempunyai roda, pastikan ia mempunyai lima roda agar lebih stabil.

Kawasan tempat letak tangan pula sepatutnya selaras dengan permukaan meja bagi memastikan lengan dan kaki membentuk sudut 90 darjah.

Kaki pula paling baik jika diletakkan rata di atas lantai dengan anda disarankan untuk kerap menukar posisi duduk dan berdiri dari semasa ke semasa.

Pembahagi ruang dapat membantu memisahkan 'workstation' dari bahagian ruang lain dalam rumah. — Gambar hiasan

Sebaik-baiknya, bekerja di ruang yang ringkas tetapi selesa dan elakkan gangguan seperti muzik.

Jika anda tidak mempunyai bilik kerja sendiri, anda boleh wujudkan kawasan yang lebih tenang menggunakan pembahagi ruang.

Udara segar dan cahaya semula jadi juga dapat mewujudkan suasana kerja yang lebih baik.

Permaidani juga boleh membantu menyerap bunyi dan menjadikan ruang lebih selesa.

Pastikan anda mengambil rehat yang mencukupi akan tetapi tetapkan waktunya terlebih dahulu.

Adalah sangat membantu jika anda menetapkan matlamat kerja jelas dan berpegang teguh kepada waktu kerja yang telah dirancang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram