Ikut semua kemahuan punca anak jadi 'raja', berontak jika tak dituruti, titik mula sikap keras kepala


  • Relaks
  • Rabu, 30 Apr 2025

Mendidik anak bukan soal siapa lebih tegas atau siapa lebih lembut, tapi memahami mereka dan belajar semula cara kita sendiri sebagai ibu bapa.

RAMAI ibu bapa mengeluh apabila anak mula menunjukkan perangai degil, suka melawan dan tidak mahu mendengar kata.

Namun, jarang sekali untuk berhenti sejenak dan bertanya, adakah sikap anak ini terbentuk sendiri atau sebenarnya berpunca daripada cara kita melayan dan membesarkan mereka?

Seorang pendidik yang sering berkongsi ilmu keibubapaan di media sosial, Taufiq Raziq, menjelaskan isu itu dengan begitu jelas.

BACA LAGI: Kelas ala kafe hipster, pelajar SMK Kubang Kerian lebih semangat, teruja belajar

BACA LAGI: Berhenti dera anak dalam diam, malukan depan orang, cipta ruang emosi positif, sarat kasih sayang

Menurutnya, anak-anak yang keras kepala bukan semata-mata 'buat perangai'.

Selalunya, mereka sedang memberi reaksi terhadap apa yang berlaku dalam persekitaran khususnya dalam hubungan dengan ibu bapa.

Antara penyebab utama sering tidak disedari ialah sikap ibu bapa yang terlalu suka mengkritik.

Setiap tindakan anak walaupun hanya kesalahan kecil atau cubaan untuk membantu sering diperlekeh atau ditegur dengan kata-kata yang menjatuhkan semangat.

Antara penyebab utama sering tidak disedari ialah sikap ibu bapa yang terlalu suka mengkritik.  Gambar hiasan/Freepik

Apabila anak rasa apa saja mereka lakukan tidak pernah cukup baik pada mata ibu bapa, mereka akhirnya memilih untuk tidak peduli langsung.

Inilah titik mula sikap melawan yang kita gelar sebagai keras kepala.

Selain itu, tabiat suka melabel anak juga meninggalkan kesan besar.

Kata-kata seperti pemalas, degil atau nakal mungkin kedengaran biasa, tetapi bila diulang-ulang, ia menjadi sebahagian daripada identiti yang anak percaya tentang diri mereka sendiri.

Anak yang sentiasa dilabel akhirnya mula bertindak mengikut label itu bukan kerana mahu, tetapi kerana fikir itulah diri mereka sebenar.

Dalam masa sama, ada pula ibu bapa yang terlalu lembut dan mengikut kehendak anak tanpa batas.

Tidak sanggup tengok anak menangis dan tidak tahan dengar rengekan, semua diminta diberikan.

Lama-kelamaan, anak jadi raja dalam rumah dan apabila sesuatu tak berjalan ikut kehendak mereka mula memberontak.

Ini kerana mereka tidak pernah diajar untuk menerima 'tidak' sebagai jawapan.

Anak-anak yang rasa diabaikan pula akan mencari perhatian dengan pelbagai cara.

Apabila anak rasa apa saja mereka lakukan tidak pernah cukup baik pada mata ibu bapa, akhirnya mereka memilih untuk tidak peduli langsung.

Apabila emosi mereka kosong, mereka akan buat apa saja untuk menarik perhatian sama ada dengan memberontak, melawan atau menunjukkan sikap kasar.

Bagi mereka, lebih baik dimarahi daripada langsung tidak dipedulikan.

Satu lagi kesilapan yang sering berlaku adalah pendekatan mendidik yang terlalu berkiblatkan hukuman.

Memang betul, hukuman kadang-kadang perlu akan tetapi kalau setiap kesalahan anak dibalas dengan marah, rotan, herdik atau sekatan, mereka tidak belajar apa-apa selain takut.

Hukuman itu ibarat garam dalam masakan perlu ada, tapi jika berlebihan, rosak semuanya.

Lebih baik gunakan pendekatan yang membina seperti memberi tunjuk ajar, menegur dengan lembut, memberi galakan, pujian dan sokongan emosi.

Taufiq juga menutup perkongsiannya dengan satu pesanan penting: ilmu ini bukan sekadar untuk diri sendiri.

Ia perlu dikongsi dengan pasangan masing-masing supaya kedua-duanya faham dan seiring dalam mendidik anak.

Mendidik anak bukan soal siapa lebih tegas atau siapa lebih lembut, tapi memahami mereka dan belajar semula cara kita sendiri sebagai ibu bapa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram