Dinding krim, perabot beige: Kenapa rumah milenial di Singapura nampak serupa?


  • Relaks
  • Rabu, 30 Apr 2025

Di media sosial Singapura, rumah gaya 'Mujicore' dan 'Japandi' dalam rona beige dan putih menjadi pilihan utama. — Inspire ID Group

DINDING berwarna krim, perabot beige, dinding curve, pencahayaan cove dan pelan lantai terbuka.

Kalau anda lihat TikTok reka bentuk dalaman di Singapura atau platform inspirasi rumah seperti Communa, pasti akan perasan satu persamaan dalam hiasan dalaman tersebut.

Rumah-rumah berkonsep minimalis warna krim yang seakan-akan serupa antara satu sama lain.

BACA LAGI: Berhenti dera anak dalam diam, malukan depan orang, cipta ruang emosi positif, sarat kasih sayang

BACA LAGI: Gabungan tekstil Afrika Barat, sentuhan modenisme segar jadi rujukan rumah kecil di AS

Gaya seragam itu sering diberi label seperti 'Mujicore', 'Scandinavian' atau 'Japandi' iaitu gabungan gaya Jepun dan Scandinavia yang menekankan minimalisme, garisan bersih dan bahan semula jadi.

Aplikasi Communa yang telah dimuat turun lebih 340,000 kali melaporkan bahawa reka bentuk minimalis merupakan kegemaran ramai dewasa ini.

Ia mencatat 19 peratus daripada hantaran yang disimpan oleh pengguna, diikuti Japandi (17 peratus), Scandinavian (17 peratus) dan Mid-century Modern (14 peratus).

Rumah minimalis milik Douglas menggambarkan estetika minimalis yang cukup popular di media sosial. — Douglas

Seorang perunding teknologi, Douglas Tan, 38, tinggal di sebuah rumah empat bilik Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) Singapura yang baharu siap diubah suai pada 2024, lengkap dengan elemen-elemen minimalis yang popular di media sosial.

Menurutnya, gaya itu bukan sahaja sedap mata memandang malah menjimatkan.

"Ia mengurangkan usaha untuk memastikan perabot sepadan dengan tema hiasan dalaman kediaman," katanya.

Seorang kakitangan kerajaan Singapura, Qazim Karim, 35, yang mendokumentasikan proses ubah suai rumah pertamanya secara dalam talian pula berpendapat sebaliknya.

"Saya cuba cari contoh reka bentuk yang lebih bercirikan warisan atau eklektik, tapi sangat sukar untuk dijumpai dalam portfolio pereka dalaman," katanya.

Kebanyakan pemilik rumah dalam kalangan orang muda di Singapura sangat terpesona dengan trend reka bentuk Mujicore dan Scandinavian. — M2 Decor

Bagi Qazim, rumah minimalis warna krim sesuai untuk pasangan muda yang baru memulakan kehidupan bersama di rumah flat (built-to-order) BTO, tetapi tidak praktikal untuk keluarga dengan banyak barang dan gaya hidup lebih kompleks.

Trend biasa reka bentuk rumah milenial Singapura

Kalau kita nak cipta sebuah rumah tipikal milenial Singapura, resipi asasnya mungkin meliputi warna neutral (putih dan beige), garisan bersih, pelan terbuka, pencahayaan cove dan kemasan microcement.

“Kalau tengok laman mana-mana pereka dalaman, mesti ada garisan melengkung atau curve edge,” kata Pengasas Inspire ID Group, Russell Chin, yang mengakui dia sudah menjangka trend itu sejak 2024.

Lengkung itu boleh dilihat di dinding, sofa, malah lampu.

Orang muda cenderung mengambil pendekatan lebih aktif dalam menghias rumah mereka dengan perabot unik atau bahan yang tidak konvensional. — Ascend Design

Pencahayaan cove tidak langsung dari siling turut menjadi elemen wajib yang kini ada di hampir setiap rak, dapur dan siling rumah-rumah warga milenial.

Bagi Wilson Teh dari Rezt+Relax Interior Design, microcement pula kini sudah terlalu kerap digunakan.

"Kalau guna berlebihan, rumah boleh nampak suram dan tidak mesra."

Microcement ialah lapisan nipis serba guna yang boleh disapu pada lantai, dinding dan perabot untuk memberi rupa seperti simen. Ia datang dalam pelbagai warna dan tahan lama.

Gaya-gaya itu sangat dipengaruhi jenama Jepun, Muji, seiring dengan minat rakyat Singapura terhadap jenama Jepun lain seperti Uniqlo.

Homogeniti juga dapat dilihat dalam rumah maya.

Start-up AI bernama Renderspace yang menghasilkan reka bentuk dalaman maya untuk ejen hartanah turut melaporkan gaya hiasan dalaman paling popular.

“Kami ambil model janaan AI kami berdasarkan rumah Singapura, jadi memang rupa dia begitu dan sebab itulah ejen hartanah suka,” kata pengasas bersama Renderspace, Raphael Yee.

Tapi itu tidak bermakna konsep hiasan dalaman lain kurang mendapat sambutan.

Agnes Yap dari Ascend Design berkata, walaupun gaya minimalis kurangkan tekanan ubah suai, klien mereka kini mula mencari pendekatan lebih unik seperti gabungan Japandi dan Mid-century Modern, digabungkan dengan warna berani dan corak dari gaya Bohemian atau Bauhaus.

Pensyarah reka bentuk dalaman dari Lasalle College of the Arts, Eugene Lee, menegaskan tiada satu tren dominan hari ini. “Sekarang ini, semua gaya wujud serentak. Banyak pilihan.”

Kenapa minimalisme warna krim?

Pereka dalaman sependapat bahawa tren itu didorong oleh tiga faktor utama iaitu bermula dengan kekangan asas reka bentuk flat HDB.

Lionel Leow dari TA.LE Architects menyatakan rumah-rumah HDB tidak besar, jadi gaya minimalis sangat praktikal.

Ruang yang lebih lapang membolehkan pemilik lebih kreatif dan berani dalam membina reka bentuk dalaman. — Ta.le Architects

Rumah HDB empat bilik biasanya bawah 100 meter persegi, jadi warna-warna terang dan neutral bantu mewujudkan rasa lapang dan tenang.

Menurut tinjauan Qanvast pada 2018, keutamaan pemilik rumah adalah lebih ruang untuk bergerak (72 peratus), lebih cahaya semula jadi (67 peratus) dan penyelesaian storan (62 peratus).

Bagi Rizq Aqil Azfar, yang juga seorang pereka hiasan dalaman, susun atur rumah juga menyempitkan kreativiti.

“Apabila susun atur linear dan sama, pemilik cenderung meniru gaya trending,” ujarnya.

Namun, HDB kini memperkenalkan flat 'putih' dengan pelan lebih terbuka, memberi lebih kebebasan kepada pemilik untuk bereksperimen.

Nilai jual semula lebih penting daripada ekspresi diri

Ramai milenial melihat rumah sebagai pelaburan, jadi gaya neutral yang 'selamat' lebih diutamakan berbanding gaya ekspresif.

Benjamin Toh dari M2 Decor berkata, minimalisme mengurangkan kos kerana mengurangkan bahan, perabot dan hiasan rumit.

Wilson Teh pula menganggarkan reka bentuk minimalis boleh menjimatkan kos sehingga 30 peratus berbanding gaya lain.

M2 Decor memiliki kepakaran dalam reka bentuk moden minimalis. — M2 Decor

Menerusi tinjauan Qanvast 2023, keutamaan utama pemilik rumah ialah pereka dalaman yang boleh mengikut bajet untuk hiasan dalaman kediaman masing-masing (27 peratus).

Apatah lagi rumah ialah aset terbesar bagi kebanyakan isi rumah di Singapura – sebanyak 43.9 peratus setakat suku keempat 2024.

“If you treat it as an investment vehicle, you won’t put as much thought into aesthetics,” kata Yee, yang sedang merancang renovasi rumah sendiri.

Budaya ‘berbaloi untuk wang’

Selain budaya berjimat, kadar pemilikan rumah yang tinggi (90 peratus pada 2024) menjadikan ubah suai sebagai satu norma.

Menurut Russell Chin, kontraktor Malaysia sendiri mengakui rakyat Singapura sangat cerewet tentang kerja-kerja renovasi.

Akibatnya, media sosial dibanjiri dengan kandungan ubah suai daripada komplen terhadap kerja-kerja renovasi hinggalah rakaman selepas kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.

Malah, ramai pasangan sanggup membuka akaun Instagram khas untuk mendokumenkan renovasi rumah mereka.

Adriano Tawin dari Stacked Homes berkata, pereka dalaman semakin banyak memuat naik rekaan di media sosial untuk menarik perhatian dan trend terkini pun ditentukan oleh engagement.

Untuk pengguna biasa, prinsip reka bentuk tak sepenting soal 'berbaloi atau tidak'. Maka muncullah fenomena 'rumah Taobao' dan pembelian barang (do-it-yourself) DIY murah dari platform e-dagang China.

Algoritma media sosial juga mewujudkan ‘echo chamber’ reka bentuk yang sama.

Eugene Lee mengingatkan pelajarnya bahawa 'feed' mereka mungkin hanya dipenuhi satu jenis gaya yang sering mereka klik atau simpan.

Tambah beliau, kurangnya regulasi dalam industri reka bentuk dalaman Singapura juga menyumbang kepada lambakan kandungan sebegini berbeza dengan Taiwan yang lebih ketat.

Reka bentuk minimalis memudahkan pencarian perabot yang mampu milik. — Rezt + Relax Interior Design

Jadi adakah salahnya andai rumah-rumah di Singapura dengan hampir kesemuanya kelihatan serupa?

Ada yang kata 'Rakyat Singapura alah kepada warna'. Seorang pengguna Reddit menyindir: “Orang pilih neutral sebab fikir itu cara mudah nak nampak bergaya tapi sebenarnya ia menunjukkan ketiadaan cita rasa.”

Douglas Tan tidak mengambil pusing tentang hal itu sebaliknya dia berkata, “Saya nak rumah yang lapang dan tenang, impian itu tercapai,” katanya.

Eugene Lee pula berkata: “Orang Singapura sangat praktikal. Kalau boleh buat rumah nampak luas, kemas dan jimat.”

Banyak elemen popular pun sebenarnya praktikal seperti kipas siling, jemuran automatik ke perabot pelbagai fungsi.

"Cove lighting itu lembut pada mata, sangat sesuai untuk siling HDB yang rendah," katanya.

Dinding dan perabot melengkung pula selamat untuk rumah yang ada anak kecil.

Lionel Leow mengakui klien boleh guna tren popular, tapi berpesan, "Masalahnya apabila semua nak salin bulat-bulat dari media sosial, ia tiada sentuhan peribadi."

Bagi beliau, rumah tak patut jadi benda yang dibuat sambil lewa seperti membeli baju di Uniqlo.

"Ia tempat kita habiskan masa paling lama, jadi ia patut mencerminkan keperibadian sendiri," ujarnya.

Yee pula simpulkan: “Orang Singapura nak 60 peratus gaya itu dengan hanya 20 peratus bajet.”

“Taklah buruk. Tapi nak kata ‘cantik’ pun tak,” tambahnya.

Namun, trend sentiasa berubah.

Reka bentuk konsep terbuka dan tona krim mewujudkan rasa lebih lapang dan luas dalam rumah HDB yang terhad ruangnya. — Rezt + Relax Interior Design

Awal tahun 2010-an popular dengan gaya industri, lewat 2010-an pula muncul minimalis Scandinavian dan gaya Peranakan penuh corak.

Rizq, pereka muda Gen Z yang juga tinggal di rumah flat HDB berkata, perbezaan generasi dapat dilihat di mana-mana.

"Rumah ibunya, seorang Gen X langsung tak sama dengan trend sekarang. “Rumah dia penuh warna, banyak pinggan hiasan, dan setiap Hari Raya ada centerpiece baharu.”

Jadi, kalau milenial suka gaya minimalis krim sebagai reaksi terhadap rumah penuh barang zaman ibu bapa mereka, mungkin generasi seterusnya akan menongkah arus dengan gaya maximalist pula.

Dan Rizq berharap dia dapat membantu menjadikan maximalism popular semula. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram