
SEBUAH karya pelukis terkenal LS Lowry, yang dikenali dengan lukisannya mengenai kehidupan kelas pekerja di England, akan dilelong pada harga sehingga £1 juta (RM5.8 juta).
Pada asalnya lukisan itu hanya dibeli pada harga £10 (RM57), kata pihak pelelong pada Isnin.
Lukisan bertajuk Going To The Mill itu dibeli oleh pengarang sastera, Arthur Wallace pada 1926 dan disimpan oleh keluarganya sejak itu.
BACA LAGI: Kelas ala kafe hipster, pelajar SMK Kubang Kerian lebih semangat, teruja belajar
BACA LAGI: Berhenti dera anak dalam diam, malukan depan orang, cipta ruang emosi positif, sarat kasih sayang
Lowry, yang meninggal dunia pada 1976 di usia 88 tahun, dikenali kerana lukisan-lukisan yang menggambarkan kawasan perindustrian di utara England yang dipenuhi dengan figura manusia berbentuk 'kayu mancis' yang menjadi gaya signaturnya.
Karya tersebut memaparkan pekerja kilang yang sedang tergesa-gesa ke tempat kerja dengan latar belakang cerobong kilang memuntahkan asap hitam tebal.
Lukisan itu disiapkan pada 1925 dan dipercayai antara jualan terawal Lowry dalam transaksi two-for-one hasil rundingan secara terus antara pembeli dan artis terbabit.
Pada asalnya, lukisan itu berharga £30 (RM173), Lowry kemudiannya mencadangkan harga £10 untuk lukisan minyak tersebut dan ia dipersetujui, demikian menurut cerita cucu Wallace, Keith Wallace.
"Datuk tulis cek," katanya. "Kemudian Lowry membalas suratnya dengan berkata: 'Saya rasa saya telah mengenakan bayaran terlalu tinggi. Boleh saya beri satu lagi lukisan juga?' Jadi Datuk dapat dua lukisan Lowry dengan hanya £10.”
Keluarga Wallace masih menyimpan surat Lowry bertarikh 9 November 1926 yang berbunyi: "Terima kasih atas surat dan cek awak untuk £10. Saya sangat gembira, Puan Wallace suka akan lukisan itu."
Lukisan kedua, bertajuk Manufacturing Town, telah dijual oleh keluarga itu sebelum ini.
Simon Hucker, pakar kanan seni moden dan kontemporari di rumah lelongan Lyon & Turnbull, berkata, lukisan itu merupakan contoh klasik tetapi jarang dijumpai bagi karya Lowry.
"Going To The Mill adalah lambang karya Lowry pada era 1920-an, apabila beliau benar-benar menjadi suara unik dalam dunia seni," katanya.
"Amat jarang bagi sebuah lukisan seperti ini hanya mempunyai seorang pemilik sejak ia dibeli," tambahnya.
Sebuah karya dengan saiz dan tarikh yang hampir sama dari koleksi HSBC telah dijual pada harga £1.2 juta (RM6.9 juta) tahun lalu, menurut Hucker.
Going To The Mill akan dilelong pada Jumaat di Mall Galleries, London dengan anggaran harga antara £700,000 (RM4 juta) hingga £1 juta (RM5.8 juta).
Selepas kematiannya, karya Lowry diraikan melalui lagu popular Matchstalk Men And Matchstalk Cats And Dogs oleh duo muzik Brian and Michael, yang mencapai tangga teratas carta pop Britain pada 1978. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram