
PELAKON veteran Hollywood, Demi Moore, 62, diiktiraf sebagai 'World's Most Beautiful 2025 oleh majalah antarabangsa, People biarpun tewas dalam pencalonan Oscar baru-baru ini.
Menerusi satu temu bual, bintang filem The Substance itu berkongsi perkembangan karier lakonan dan kisah hidupnya khas buat peminat yang setia menyokong kerjaya seninya selama ini.
Menjalani kehidupan yang sangat bahagia dan tenang, Moore mengakui populariti dikecapi sedikit sebanyak turut mengganggu privasi keluarganya.
BACA LAGI: [VIDEO] Terpaksa tinggalkan bayi 3 bulan, wanita kongsi pengalaman 'breastfeed' ketika tunai haji
"Walaupun terkenal, saya juga berdepan tekanan dalam hidup," katanya.
Menganggap filem lakonannya, The Substance sebagai karya paling mencabar, ia telah meninggalkan kesan mendalam dan mengubah keperibadian dirinya sehingga hari ini.
"Filem itu benar-benar memaksa saya untuk berdepan dengan isu penghakiman terhadap diri sendiri dan kurangnya penghargaan terhadap tubuh saya.
"Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku dengan filem ini dan saya tidak menyangka ia akan mencipta impak sebesar ini," katanya.
The Substance mengisahkan tentang seorang seorang bekas bintang yang sanggup bertindak secara keterlaluan untuk mengelak daripada proses penuaan.
Moore mengakui dia juga pernah bertindak sedemikian yang mana pelakon About Last Night itu sendiri sebelum ini 'menyeksa' diri sendiri dan sanggup melakukan pelbagai 'kerja gila'.
Ibu kepada tiga cahaya mata perempuan itu mendedahkan dia pernah berbasikal sejauh 41.8 kilometer (km) dari Malibu ke Paramount, Amerika Syarikat (AS) demi mengekalkan kecantikan dan tubuh badan ideal.
Moore memegang watak utama dalam filem The Substance yang ditayangkan pada tahun lalu.
Kini, dia percaya versi dirinya yang akan menginjak usia 80 tahun akan memberikan nasihat supaya lebih menjaga kesihatan diri dan tubuhnya.
Baru-baru ini, Moore turut tercalon dalam senarai 100 individu berpengaruh dalam majalah Time100, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai ikon wanita tercantik dunia.
Mencipta sejarah dengan membawa pulang anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild sulung tahun ini, kejayaan itu membuktikan bahawa kariernya masih terus relevan dan bersinar walaupun menginjak ke angka lebih separuh abad. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram