Sesi luah perasaan berkumpulan di tempat kerja mampu atasi tekanan mental — Pakar Psikologi


  • Massa
  • Rabu, 04 Sep 2024

Dr Mariani berkata, sesi kaunseling berkumpulan di tempat kerja boleh memberi sokongan mental kepada seseorang.

BANYAK faktor yang mendorong seseorang untuk mengambil dadah, ia termasuk tanggapan bahawa bahan terlarang tersebut mampu melarikan diri daripada realiti hidup.

Keinginan untuk lari daripada hidup itu boleh jadi disebabkan kesengsaraan yang wujud dari ekosistem institusi kekeluargaaan dan tekanan di tempat kerja.

Lebih merisaukan apabila individu yang mengambil dadah itu dalam kalangan ibu bapa kerana tindakan negatif itu akan mengganggu proses menjadi pemimpin keluarga yang baik kepada anak-anak.

BACA LAGI: [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar

BACA LAGI: VIDEO] Kenal syabu ketika usia 12 tahun, detik kawan mati ketika tengah 'high' ubah diri Iskandar

Situasi ibu bapa memilih menjadi penghisap dadah menyaksikan mereka mula mengabaikan tanggungjawab sebagai orang dewasa dan menjadikan bahan perosak itu sebagai prioriti.

Pakar Psikologi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor turut sama melontarkan buah fikirannya mengenai ibu bapa yang terjerumus dalam lembah dadah sehingga mengabaikan anak-anak.

"Ambil dadah ini akan ganggu proses parenting. Kita lihat sama ada ibu atau bapa yang menjadi penagih, kalau dia rasa keseronokan hisap dadah, mesti akan teruskan.

"Maksudnya fokus untuk menjaga, membimbing dan mengasuh anak itu kemungkinan bukan menjadi prioriti. Perkara ini mungkin kerana manusia akan lebih fokuskan perkara yang menjadi keutamaan dan lebih bermakna," katanya ketika ditemui Majoriti baru-baru ini.

Katanya, mengikut kajian yang dijalankan, persoalan kenapa ibu atau bapa ini menghisap dadah kemungkinan untuk melupakan kesengsaraan dalam hidup termasuk stres dan resah di tempat kerja.

Menurutnya, ibu bapa yang menjadikan dadah sebagai sebahagian hidup akan memberi kesan kepada tumbesaran anak-anak dan ia termasuk implikasi kepada kesihatan mental.

WhatsApp Image 2024-09-03 at 18.19.57

Pakar Psikologi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor.

Walaupun ketagihan dadah boleh mengganggu proses parenting, terdapat pendekatan yang membantu individu untuk pulih dan berjaya seperti proses kaunseling yang efektif.

"Proses kaunseling yang dilakukan oleh kaunselor memang digunapakai untuk memastikan mereka akan lupa kisah lampau. Ini yang kita kata cognitive behaviour therapy, ia memastikan pemikiran tentang masa lampau itu sedikit demi sedikit dibimbing ke arah yang lebih positif.

"Selain kaunseling, cuba jangan ambil kisah komen orang sekeliling, tunjukkan motivasi untuk berubah, jangan mudah kecewa, selain perlu ada orang di belakang untuk menyokong," ujarnya.

Malahan, Dr Mariani berkata, sesi kaunseling berkumpulan di tempat kerja boleh memberi sokongan mental kerana ia membolehkan individu berkongsi perasaan dalam suasana lebih selesa.

"Setiap tempat kerja ada kaunselor tetapi mereka hanya jumpa bila ada masalah. Sebaiknya ada sesi kaunseling dalam tiga atau empat orang dan anggap ia sebagai sesi luahan perasaan," tutupnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram