Ibu luah kisah akaun Tabung Haji anak nyaris 'lesap', sempat pesan jangan kongsi TAC


  • Massa
  • Khamis, 24 Apr 2025

Sistem keselamatan Tabung Haji yang menetapkan pemindahan wang dari akaun anak ke akaun penjaga bantu elak kerugian besar.

SEORANG wanita sebelum ini tampil berkongsi pengalaman cemasnya apabila hampir menjadi mangsa penipuan membabitkan akaun Tabung Haji milik anak-anaknya.

Beliau bagaimanapun dimaklumkan oleh penjaga kaunter Tabung Haji bahawa wang tersebut selamat namun tersangkut dalam akaun penjaga dan belum dipindahkan kembali.

Menerusi laman Facebook bernama Amirah Che Jaafa, beliau memberitahu, kisah tular tersebut mendapat perhatian pihak pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH), yang kemudian mengadakan pertemuan peribadi dengan wanita berkenaan di Besut, Terengganu.

BACA LAGI: Duit raya anak boleh labur dalam emas, unit amanah atau saham, ibu bapa perlu bijak urus - perunding kewangan

BACA LAGI: Naik 20 peratus, Tabung Haji tetapkan bayaran RM15,000 untuk jemaah B40, golongan M40 dicaj RM23,500 seorang

Menurut wanita berkenaan, beliau dijemput bertemu dengan pegawai kanan Tabung Haji di Terengganu untuk memberi keterangan lanjut dan penerangan mengenai status akaun anak-anaknya termasuk peranan sebagai penjaga.

"Alhamdulillah, akaun anak-anak selamat dan wang yang tersekat dalam akaun saya sebagai penjaga juga sudah dipindahkan. 

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas kecekapan staf Tabung Haji Jerteh dalam membantu dari A hingga Z," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Kongsinya, kisah bermula apabila beliau menerima mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali, mendakwa tersalah memindahkan wang sebanyak RM3,000 ke akaun Tabung Haji beliau. 

Jelasnya, penghantar mesej itu kemudian meminta beliau memberikan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) untuk kononnya memindahkan semula wang tersebut.

"Saya memang tak ambil kisah sangat dengan nombor akaun TH sebab segala urusan dalam talian saya guna akaun bank lain.

"Akaun Tabung Haji ini saya anggap sebagai 'simpanan mati' sebab nak keluarkan duit pun perlu isi borang di  kaunter," ujarnya.

Menyedari itu cubaan penipuan, beliau membalas mesej sindiket penipuan tersebut dengan nada sinis dan tidak lama kemudian nombornya telah disekat oleh individu tersebut.

Namun katanya, sistem keselamatan Tabung Haji yang menetapkan pemindahan wang dari akaun anak ke akaun penjaga serta keperluan TAC daripada penjaga sendiri telah membantu mengelakkan kerugian lebih besar.

Beliau turut memuji aplikasi mudah alih THiJARI yang dianggap selamat dan mesra pengguna. 

Tambahnya lagi, mesej TAC yang diterima tanpa sebarang urusan aktif daripada pihak pengguna seharusnya menjadi tanda amaran agar tidak dikongsikan kepada sesiapa.

"Sebenarnya, keselamatan itu terletak pada diri kita juga. Kalau kita sendiri beri TAC kepada scammer, memang duit kita akan lesap," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram