[VIDEO] Pakar mental ulas lelaki ketagih 'tengok' wanita hamil, hidap penyakit maiesiophilia


  • Relaks
  • Selasa, 22 Apr 2025

Jika tidak dibendung individu menghidap maiesiophilia berisiko tinggi untuk terjebak dalam perbuatan jenayah. — Gambar hiasan/Freepik

NIAT wanita bersantai bersama keluarganya pada hujung minggu bertukar menjadi pengalaman traumatik selepas dipercayai menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pemuda tidak dikenali di sebuah pasar raya di Seremban 2, Negeri Sembilan pada Ahad lalu.

Wanita tersebut, dikenali sebagai Erny Nuryassmien, berkongsi detik menakutkan itu melalui akaun Facebook miliknya.

Beliau menyedari kehadiran seorang lelaki berpakaian kuning dilihat mengekori dan merakamnya secara senyap-senyap sejak dari luar pasar raya.

BACA LAGI: Syawal masih on! 5 tip deko 'last minute' rumah terbuka raya buat tetamu lebih selesa

BACA LAGI: Pasangan TTC tunggu zuriat lebih 2 dekad, cahaya mata sulung jadi hadiah bermakna ulang tahun ke-20 perkahwinan

"Saya dah perasan budak berbaju kuning tu dari luar. Nampak macam merakam, tapi masa tu saya tak fikir bukan-bukan. Bila masuk dalam pun dia ikut, telefon tegak merakam. Ke mana saya pergi, dia ikut," tulisnya.

Lebih mengejutkan, apabila telefon bimbit lelaki itu diperiksa, didapati terdapat beberapa rakaman video dirinya, termasuk yang dizum secara dekat ke bahagian belakang badannya.

Malah, turut ditemui video-video wanita lain, termasuk wanita mengandung dan berpurdah.

Suspek berusia 20 tahun dan merupakan pelajar sebuah universiti tempatan berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis.

Anak-anak mangsa juga menyedari perlakuan mencurigakan lelaki terbabit apabila bertanya, “Dia asyik tengok kita je, umi.” Tidak berpuas hati, wanita berkenaan memaklumkan perkara itu kepada suaminya yang kemudian mengekori suspek sebelum mangsa sendiri memberanikan diri bersemuka dan merakam tindakan lelaki tersebut sebagai bukti.

Amirul menjelaskan mengenai maiesiophilia iaitu individu mempunyai desakan seksual yang tinggi terhadap wanita mengandung.

Mengulas isu tersebut, Pengasas Mental Kuat Centre, Amirul Ramli menjelaskan bahawa gangguan seksual seperti itu boleh berpunca daripada kondisi yang dikenali sebagai maiesiophilia, iaitu dorongan seksual terhadap wanita mengandung.

Menurutnya, apabila keinginan ini mencapai tahap ketagihan, ia menunjukkan gangguan pada bahagian otak yang dikenali sebagai nucleus accumbens pusat kawalan ganjaran dan kenikmatan.

"Hyperactive dalam mencari sesuatu yang memberikan kenikmatan itu sampai pergi pusat beli-belah. Sistem dopamin dah kena hijack, otak mencari rangsangan tanpa kawalan minda rasional," jelasnya dalam satu hantaran video di TikTok.

Beliau menambah bahawa tidak seperti penyalahgunaan bahan yang melibatkan faktor luaran, dorongan seksual itu datang daripada dalam diri menjadikannya lebih mencabar untuk dikawal.

Jika tidak dibendung, individu yang menghidap maiesiophilia berisiko tinggi untuk terjebak dalam perbuatan jenayah.

Mangsa turut menyeru agar lebih ramai wanita berani bertindak sekiranya berdepan gangguan seksual.

"Untuk wanita dan gadis dekat luar sana, jangan takut pertahankan benda betul. Rakam sebagai bukti. Jangan takut. Jaga diri sendiri," ujarnya.

Insiden tersebut sekali lagi mengingatkan masyarakat tentang pentingnya peka terhadap keselamatan diri dan tangkas bertindak apabila diganggu.

Ia juga menyerlahkan keperluan rawatan awal bagi individu yang mengalami keinginan seksual tidak normal sebelum ia mendorong kepada jenayah yang lebih serius. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram