
POKOK kemboja, atau nama saintifiknya Plumeria, merupakan sejenis tumbuhan hiasan yang sangat popular di Malaysia dan negara tropika lain kerana keindahan bunga serta harumannya yang wangi.
Ia sering dikaitkan dengan suasana tenang, spiritual dan menjadi simbol dalam budaya serta upacara keagamaan tertentu, terutamanya di kawasan Asia Tenggara dan Pasifik.
Pokok itu biasanya mempunyai batang berkayu, cabang yang unik dan daun lebar berwarna hijau tua dengan bunga kemboja pula hadir dalam pelbagai warna seperti putih, kuning, merah jambu dan ungu.
BACA LAGI: Jadikan si kecil 'content' media sosial, anak-anak hilang privasi, risiko kemurungan
Ia sekali gus menjadikannya pilihan utama untuk menyerikan laman rumah atau kawasan tanah perkuburan.
Dari segi penjagaan, pokok kemboja tidak memerlukan perhatian terlalu rumit, menjadikannya sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia berkebun.
Ia tahan lasak serta mampu hidup dalam pelbagai jenis tanah selagi ada saliran baik dibantu dengan pencahayaan matahari sepenuhnya untuk pertumbuhan optimum dan penghasilan bunga yang banyak.
Penyiraman dilakukan secara sederhana, memadai dua hingga tiga kali seminggu, terutama pada musim panas.
Pokok kemboja tidak memerlukan perhatian terlalu rumit.
Walaupun pokok kemboja terkenal dengan keindahannya, ada persoalan yang sering timbul berkaitan akar pokok itu dan potensi kerosakannya terhadap struktur bangunan.
Menerusi perkongsian seorang pengguna TikTok, Humaidi Habib membangkitkan tentang persoalan orang ramai bahawa pokok kemboja tidak menjejaskan struktur bangunan meskipun ditanam di kawasan sempit.
Humaidi yang juga merupakan arkitek landskap berkongsi keadaan gambar pokok kemboja yang sihat dan subur ditanam di kawasan perumahan meskipun 'planter area' tanaman tersebut bersaiz kecil.
"Walaupun kawasan planter terhad, akar-akar pokok tetap tak rosakkan 'concrete edging dan tarmac itu," katanya.
Tambah Humaidi, perkongisannya itu membuktikan bahawa akar pokok kemboja tidak 'invasive' dan boleh tanam di tempat yang sempit.
Menanam pokok kemboja di kawasan kediaman sememangnya mempunyai kesan positif apabila ia mampu menaikkan nilai estetika rumah, memberikan suasana damai dan menjadi titik fokus dalam reka bentuk landskap.
Aroma bunganya yang lembut juga memberi kesan terapi dan membantu menenangkan fikiran, menjadikannya sesuai ditanam berhampiran ruang rehat atau tempat beribadat.
Pokok itu juga boleh menjadi pelindung semula jadi daripada sinaran matahari terik.
Namun begitu, terdapat juga kesan negatif perlu dipertimbangkan jika tidak ditanam dengan betul, daun dan bunga kemboja yang gugur boleh menyebabkan kawasan laman menjadi kotor jika tidak dibersihkan secara berkala.
Selain itu, getah pokok kemboja boleh menyebabkan iritasi kulit bagi sesetengah individu kerana sifatnya yang sedikit toksik.
Maka, penjagaan yang berhati-hati diperlukan, terutamanya jika terdapat kanak-kanak di sekitar rumah.
Secara keseluruhannya, pokok kemboja merupakan pilihan indah dan simbolik untuk ditanam di kediaman, namun seperti mana-mana pokok hiasan lain, perancangan penanaman yang teliti serta penjagaan konsisten amat penting untuk mengelakkan sebarang kesan negatif kepada persekitaran rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram