Pentingnya lubang angin pada kabinet dapur, tong gas ada pengudaraan baik elak kejadian letupan tak diingini


  • Relaks
  • Rabu, 23 Apr 2025

Pintu kabinet dengan lubang udara atau lubang angin membantu pengaliran udara yang lebih baik. — Facebook/ Mis Ibunda

REKA bentuk dapur moden yang menitikberatkan elemen estetik dan minimalisme kini menjadi pilihan orang ramai.

Namun di sebalik susun atur yang kelihatan kemas dan serba tertutup, tersembunyi satu risiko yang besar jika aspek teknikal seperti pengudaraan tidak diberi perhatian sewajarnya.

Kabinet dapur yang dibina rapat tanpa sebarang laluan udara sama ada di bahagian belakang, sisi atau bawah sebenarnya boleh bertukar menjadi perangkap maut sekiranya berlaku kebocoran gas.

BACA LAGI: Kreatif 'makeover' almari lama, kertas hiasan dinding ubah rupa perabot persis rotan mahal

BACA LAGI: Pasangan TTC tunggu zuriat lebih 2 dekad, cahaya mata sulung jadi hadiah bermakna ulang tahun ke-20 perkahwinan

Tong gas memasak seperti gas petroleum cecair (LPG) digunakan hampir setiap hari, boleh menjadi ancaman yang sangat serius apabila terperangkap di ruang tertutup yang tidak mempunyai pengudaraan.

Dalam banyak kes, kebocoran gas yang kecil tidak disedari oleh penghuni rumah kerana tiada aliran udara yang dapat menyalurkan gas tersebut keluar.

Apabila api dinyalakan, gas yang telah berkumpul hanya menunggu satu pencetus untuk menghasilkan letupan.

Rekaan kabinet dapur tidak hanya cantik di mata namun perlu menitikberatkan aspek berkaitan keselamatan. — Gambar hiasan / Facebook Oja Chacha's

Insiden seperti yang berlaku kepada jiran seperti yang diceritakan Anis Hafiza baru-baru ini menunjukkan betapa bahayanya situasi tersebut.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, dalam tempoh kurang dari 15 minit ketika menyediakan juadah berbuka puasa pada bulan lalu, dapur meletup dan isteri mangsa mengalami kecederaan terbakar.

"Bulan lepas rumah jiran hujung sana ditimpa kemalangan kecil, dapur gas meletup. Terbakar juga pada isterinya kira-kira 13 peratus.

"Semua itu berlaku kerana kabinet dapur tidak mempunyai sebarang ruang pengudaraan," katanya.

Reka bentuk tertutup sepenuhnya tanpa lubang udara ternyata menjadi antara punca malapetaka yang tidak dijangka itu.

Kesedaran terhadap kepentingan pengudaraan dalam reka bentuk dapur moden masih rendah dalam kalangan masyarakat.

Ramai yang mengutamakan gaya berbanding fungsi, tanpa menyedari bahawa keselamatan adalah asas utama dalam setiap ruang kediaman, khususnya dapur yang menjadi pusat aktiviti memasak setiap hari.

Menyediakan lubang kecil di bahagian tertentu mungkin dilihat mengganggu kecantikan kabinet, namun dengan rekaan terkini yang lebih trendy, semakin ramai menyedari keperluan menyediakan lubang udara atau lubang angin pada pintu ruang simpanan tong gas.

Reka bentuk sedemikian bukan sahaja sudah diterima ramai malah menyediakan keperluan teknikal, praktikal dan paling penting, tidak mengetepikan aspek keselamatan penghuni rumah.

Yang penting perlu diingat, pengudaraan bukan satu pilihan sampingan sebaliknya ia adalah keperluan asas yang tidak boleh diabaikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram