Suka dengar ayat suci sejak bayi, hafiz cilik Ahmad Ziyyad hanya perlu 4 bulan hafaz 30 juzuk al-Quran


  • Massa
  • Rabu, 23 Apr 2025

Ziyyad antara murid paling luar biasa di AKMAL.

MELIHAT anak-anak kecil mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan fasih bukan sahaja menyentuh hati, malah menjadi satu simbol harapan bagi ummah.

Kisah inspirasi hafiz cilik seperti Ahmad Ziyyad Mohd Zahir, 10, yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya empat bulan melalui program fast track di Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL), Terengganu, memberi impak besar dalam landskap pendidikan agama di negara ini.

Program berkenaan direka khas untuk membantu pelajar menghafaz al-Quran dalam tempoh masa yang singkat dengan pendekatan intensif dan bimbingan yang berstruktur.

BACA LAGI: Kreatif 'makeover' almari lama, kertas hiasan dinding ubah rupa perabot persis rotan mahal

BACA LAGI: Pentingnya 'review' jujur! Influencer, selebriti elak 'overclaim', waspada promosi produk kesihatan

Melalui program itu, Ziyyad menunjukkan komitmen dan disiplin yang tinggi, membolehkannya mencapai matlamat besar pada usia yang cukup muda.

Kejayaan luar biasa Ziyyad itu membuka mata ramai pihak tentang potensi luar biasa yang boleh dicapai melalui bimbingan betul, disiplin tinggi dan persekitaran yang kondusif.

Dalam usia sangat muda, Ziyyad bukan sahaja berjaya menguasai hafazan, tetapi turut menunjukkan kematangan, tumpuan dan adab yang tinggi sekali gus membentuk peribadi unggul sejak kecil.

Kejayaan Ziyyad bukan sahaja membanggakan keluarga, tetapi juga menjadi inspirasi kepada ramai pihak.

Ia membuktikan bahawa dengan sokongan yang tepat, dedikasi dan usaha gigih, kanak-kanak mampu mencapai pencapaian luar biasa dalam bidang agama.

Menurut ibunya Nurul Shahida Lukman, 35, dia mula menyedari keistimewaan itu apabila sering mendodoi Ziyyad dengan bacaan ayat suci al-Quran.

Uniknya, jika bacaan itu terhenti atau tersilap, anak kecil itu akan menangis, dan hanya akan tenang apabila ibunya menyambung semula bacaan dengan betul.

"Saya mula perasan Abe Yadd (panggilan untuk Ziyyad) minat pada al-Quran sejak bayi kerana saya sering mendodoikannya dengan bacaan al-Quran.

"Apabila tiba pada mana-mana ayat yang saya terlupa, dia akan menangis dan hanya diam apabila saya mulakan kembali alunan dari awal surah," kongsinya kepada Bernama.

Pada usia dua tahun lapan bulan, Ziyyad sudah mampu menghafal 42 surah termasuk surah panjang seperti al-Baqarah dan al-A'raf dengan hanya melalui pendengaran.

Keistimewaan itu mendorong kedua ibu bapanya berpindah dari Kota Bharu, Kelantan ke Marang, Terengganu semata-mata untuk memberi peluang terbaik kepada anak mereka mengikuti program hafazan intensif di AKMAL.

"Abe Yadd bersekolah di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Fateh Kota Bharu, tapi sayangnya disebabkan jadual persekolahan yang padat, hafalan al-Qurannya menjadi sedikit perlahan. Jadi kami membuat carian tentang program hafiz fast track dan terjumpa Akademi Al-Quran Amalillah pada 2024.

"Akademi ini hanya terima pelajar berumur 10 hingga 15 tahun, namun dengan izin ALLAH, rezeki dia diterima masuk ke akademi tersebut semasa berusia sembilan tahun kerana kemampuannya menghafal beberapa potongan ayat dalam masa 10 minit sahaja, walhal kebanyakan pelajar lain memerlukan masa lebih panjang," katanya.

Keupayaan Ziyyad juga dikaitkan dengan keistimewaannya yang menghidap hyperlexia dan hypernumeric yang mana dia mampu mengenal huruf dan nombor lebih awal daripada kebiasaan.

Hafiz cilik itu juga mampu menyebut nombor ayat, nama surah, serta muka surat dalam al-Quran dengan tepat, malah menghafal nama-nama ALLAH selain sangat tertarik dengan corak nombor dalam al-Quran.

Selepas berjaya bergelar hafiz, Ziyyad kini kembali menyambung pengajian di SRITI Al-Fateh yang akan diteruskan hingga darjah enam, sebelum melangkah ke fasa seterusnya, iaitu syahadah (proses memperakui hafalan di depan panel).

Menurut guru hafazannya di Akmal, Nurfatihar Riduan, Ziyyad adalah antara murid paling luar biasa di akademi tersebut.

Ziyyad mampu menghafal satu muka surat al-Quran dalam masa 15 hingga 30 minit, bergantung kepada kerumitan ayat, dan pernah tasmi’ satu juzuk penuh dalam sehari. Hafalan ulangkaji harian pula mencecah sehingga empat juzuk.

"Ziyyad sangat fokus dan serius pada sasaran hafazan hariannya. Ada hari tertentu dia boleh tasmi' satu juzuk penuh dalam sehari, manakala bacaan semakan atau mengulang pula mencecah dua hingga empat juzuk sehari.

"Yang paling menonjol ialah semangat luar biasa Ziyyad sendiri serta sokongan hebat ibu bapanya yang sanggup berhijrah dari Kelantan ke Terengganu semata-mata untuk capai misi hafiz buat Ziyyad," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram