
UMUM mengetahui bahawa emas merupakan sejenis simpanan menguntungkan yang boleh memberi pulangan berlipat ganda saban tahun.
Dahulunya ia lebih sinonim dengan barangan kemas wanita, persepsi itu kian berubah selepas ramai mula cakna kepentingan menyimpan emas baik golongan lelaki mahupun perempuan.
Maestro muzik terkenal, Datuk M. Nasir, 67, atau nama lengkapnya Mohamad Nasir Mohamed Sam antara figura tanah air terawal menitikberatkan soal simpanan emas.
BACA LAGI: [VIDEO] Jejaka UK disayangi bapa mentua, layan macam anak sendiri bagai menatang minyak yang penuh
M. Nasir (kiri) hadiahkan kepingan dinar emas sebagai mas kahwin buat isterinya pada majlis pernikahan mereka sekitar 2000.
Pada majlis pernikahannya pada 2000, M. Nasir menghadiahkan 13 keping dinar emas sebagai mas kahwin buat isterinya, Datin Marlia Musa yang pada ketika itu bernilai RM2,002.
Pemberian sedemikian dahulunya dilihat agak pelik kerana pasangan mempelai lain lazimnya lebih mengutamakan wang ringgit sebagai mas kahwin.
Harga nilai emas kian melonjak naik ke paras tertinggi bagi 2025 mencecah sekitar RM503 segram. — Gambar hiasan
Namun, memasuki 2025, keratan akhbar momen perkahwinan bersejarah itu menjadi bualan hangat warga maya yang amat mengagumi kebijaksanaan M. Nasir dalam soal susut nilai harga emas.
Lebih dua dekad berlalu, jumlah kepingan dinar yang sama diberikan sudah mencecah harga RM23,212 dengan jurang perbezaan sebanyak RM21,210 dalam masa 25 tahun.
Situasi itu jelas memaparkan kepentingan individu menyimpan emas sebagai aset paling bernilai di masa hadapan.
Sedikit-sedikit tekun, lama-lama menjadi bukit, masyarakat hari ini terutamanya generasi muda seharusnya lebih peka menyimpan harta dalam bentuk emas agar tidak sesal pada kemudian hari kerana ia merupakan satu bentuk pelaburan membawa pulangan lumayan.
Terbaharu, harga emas 999 dilapor melonjak naik ke paras tertinggi bagi tahun 2025 mencecah sekitar RM503 segram pada Rabu.
Public Gold menerusi kenyataan berkata, harga itu mencatatkan peningkatan RM7 berbanding RM496 segram pada Selasa manakala harga emas 916 pula sebanyak RM478 segram.
"Harga emas tertinggi tahun ini direkodkan pada Rabu dengan harga RM503 segram manakala harga emas terendah pula direkodkan pada 1 Januari 2025 dengan harga RM409 segram,” katanya.
Kenaikan harga emas tersebut sentiasa dikemas kini setiap hari pada pukul 12 tengah malam mengikut pergerakan pasaran emas dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram