Tak perlu upah cef peribadi, 5 artis wanita ini mahir 'beraksi' di dapur, menu nampak lazat


  • Relaks
  • Ahad, 20 Apr 2025

Dari kiri: Eina, Hanis dan Elisya sentiasa memastikan suami dan anak-anak menjamu selera dengan masakan air tangan mereka. — Gambar Instagram selebriti

BERBUSANA anggun, wajah dirias rapi dan rambut didandan kemas sedikit sebanyak membuatkan kita berpendapat golongan selebriti pasti dikelilingi rutin cantik-cantik sahaja.

Salah satunya mungkin tidak akan 'menjejakkan kaki' di dapur untuk memasak, iyalah bimbang jari kuning dek terkena kunyit dan wajah pula berminyak.

Jadi solusi ideal hanya mengupah cef peribadi, memesan makanan di luar atau tugas memasak digalas pembantu rumah. Senang dan menjimatkan masa. Namun, sangkaan itu meleset.

BACA LAGI: 'A new chapter', Vivy Yusof buka akaun Instagram baharu, beri tanda mahu kembali menulis?

BACA LAGI: [VIDEO] Tak lupa asal usul walau menetap di Australia, Raja Ilya didik Talita berbahasa, budaya Malaysia

Hakikatnya, ramai selebriti wanita di negara ini bukan sahaja berbakat dalam bidang seni, malah berbakat di ruang dapur terutamanya memasak juadah untuk dinikmati seisi keluarga.

Daripada masakan kampung tradisional sampailah kek dan pastri boleh dikatakan semua masakan yang dimuat naik di laman media sosial nampak sungguh menyelerakan.

Berikut Majoriti kongsikan lima selebriti wanita yang sentiasa memasak dan tidak lokek berkongsi resipi bersama para peminat.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini terkenal dengan kemahirannya masak variasi masakan Melayu. Instagram selebriti

1. Farahdhiya

Penyanyi lagu Bertakhta Di Hati itu sememangnya cukup berbakat dalam masakan Melayu kampung.

Saban hari, pemilik nama sebenar Farah Dhiya Mohamed Amin akan berkongsi dua atau tiga menu masakannya yang ringkas, tetapi membuka selera. Antaranya ialah kari hijau siakap, tempe dan tauhu goreng berempah, kari bawal campur rebung, ikan tiga rasa dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, Farahdhiya, 41, juga berkongsi resipi gulai ikan jenahak ala Indonesia yang enak dinikmati bersama nasi putih panas dan peria goreng serta telur dadar.

Bagaimanapun, rutin wanita berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu memasak dan menjamu selera dengan sajian Melayu, membuatkan sesetengah followers 'cemburu' kerana menyifatkan beliau masih berjaya mengekalkan berat badan ideal.

Pun begitu, seperti yang dipaparkan selain rajin memasak, Farahdhiya juga gemar menikmati buah-buahan dan aktif bersenam di gimnasium.

Bukan saja masakan Melayu seperti laksam, Shima juga mahir membakar kek dan pastri serta mengubah bunga. Instagram selebriti

2. Shima Anuar

Pelakon kecil manis ini bukan sahaja pandai bergaya, malah turut mencuri perhatian peminat apabila menunjukkan skil memasak.

Selain pandai memasak masakan tradisional seperti laksam, pelakon berusia 34 tahun itu juga mahir dalam bidang pembuatan kek dan pastri.

Shima juga pernah menjalankan perniagaan laksam atau lebih dikenali sebagai Laksambys sebelum sehingga mendapat sambutan mengalakkan dalam kalangan pelanggan.

Bahkan, sehingga hari ini ruangan komen di Instagram miliknya para pelanggan meluahkan rasa rindu kelazatan dan kualiti menu tersebut.

"Jual la laksam balik, teringin laa teringat dulu setiap minggu beli makan."

"Rindu nak makan laksam yang shima masak. Laksam terpaling sedap pernah saya rasa."

"Laksambys please comeback! Among the best I've ever had."

Shima kini dilihat semakin aktif menceburi bidang perniagaan, menerusi jenama kecantikan Shims by Shima Anuar yang memfokuskan produk penjagaan rambut dan menunjukkan skil mengubah bunga dan tata hias meja cantik dan menarik.

3. Eina Azman

Nama pelakon jelita, Datin Paduka Eina Azman tidak asing lagi dalam kalangan warga maya yang mengetahui tentang kebolehannya memasak.

Beliau aktif berkongsi resipi masakan melalui akaun Tiktok dan Instagram.

Setiap hantaran dimuatnaik mendapat ribuan penonton, pujian dan tanda suka daripada para pengikut.

Antara resipi masakan Melayu dikongsikan selebriti berusia 30 itu termasuk sambal sotong petai, udang masak lemak nanas rebung madu dan sambal ayam goreng tempoyak petai.

Menariknya, walaupun bercuti di luar negara ia tidak menjadi halangan buatnya pergi ke pasar raya membeli bahan-bahan mentah dan masak sendiri di tempat penginapannya, asalkan suami, Datuk Gurmeet Abdullah dan anak kembarnya, Arianna Aubrey dan Karl Kareef dapat menjamu selera dengan air tangan beliau.

Kesungguhan dan keikhlasan Eina yang tidak mengenal erti penat menyediakan hidangan untuk santapan seisi keluarga menjadi inspirasi golongan Hawa khususnya wanita muda dan para isteri yang baru mendirikan rumah tangga.

Baik Eina (kiri) mahupun Hanis walau sibuk menguruskan bisnes dan karier mereka tetap meluangkan masa masak menu kegemaran keluarga. Instagram selebriti

4. Hanis Zalikha

Pelakon dan usahawan jenama fesyen dan gaya hidup Cakenis, Hanis Zalikha, antara selebriti wanita yang mempunyai pengikut tersendiri dalam berkongsi menu masakan.

Dalam beberapa perkongsian di media sosial, pemilik nama sebenar Hanis Zalikha Zainal Rashid, sentiasa menyediakan aneka hidangan buat suami dan anak-anak baik masakan Melayu mahupun ala Barat.

Misalnya, dalam satu hantaran reels Instagram, Hanis berkongsi resipi hidangan tengah hari terdiri daripada empat hidangan iaitu asam pedas ayam, bayam masak bening, udang tumis berempah dan telur dadar rangup.

Lucunya, dalam satu hantaran yang sama Hanis menulis kapsyen bahawa perlu memasak satu lagi hidangan lain iaitu ayam goreng selepas anak-anaknya mengadu masakan sebelumnya agak pedas.

Untuk rekod, hasil perkahwinan Hanis bersama Hairul Azreen pada Jun 2015 mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Yusuf Iskandar, 9, dan Alisa Aisyah kini berusia enam tahun.

5. Elisya Sandha

Adik kepada pelakon terkenal, Fasha Sandha turut mendapat perhatian dek kemahiran memasaknya, lebih-lebih selepas mendirikan rumah tangga bersama Uzair Haqimy.

Menurut Elisya, kemahiran memasaknya itu diasah dan merupakan tunjuk ajar daripada ibu mentuanya, Sheila Rusly yang merupakan penerbit tersohor.

Namun, atas kesungguhan dan komited mempertingkatkan skil memasak kini ibu kepada Bunga Elhaq, 3, dan bakal menimang anak kedua tidak lama lagi mampu menyediakan bermacam-macam jenis menu Melayu, ala Barat dan ala Thai.

Menerusi video yang dimuat naik baru-baru ini, Elisya dilihat menyediakan beberapa hidangan istimewa seperti masak lemak sotong sumbat telur masin dan sempat berseloroh di ruangan kapsyen, "@uzairhaqimy69 nak kuali baru please."

Menjengah di ruangan komen, pemilik akaun @aque_dia memuji dan mengatakan bahawa terinspirasi dengan Elisya.

"Salute dengan Elisya. Saya terinspirasi sejujurnya masak tak perlu pandai tapi perlu rajin, teruskan buat video masak-masak saya suka."

Selain mereka berlima, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nabila Huda, Memey Suhaiza, Nana Mahzan, Sheila Rusly, Elly Mazlein, Bella Astilla dan Fasha Sandha juga selalu berkongsi menu masakan di media sosial masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram