'Blind box' Labubu kini fenomena, jadi hiasan gantungan pada beg mewah


  • Relaks
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Walaupun wajahnya dianggap pelik, namun segelintir menjadikannya sebagai sebahagian daripada fesyen.

DALAM dunia fesyen, trend datang dan pergi. Namun, sesekali muncul fenomena yang berjaya mencuri perhatian bukan sahaja pengumpul barangan eksklusif, malah golongan elit fesyen seluruh dunia.

Salah satu trend terhangat masa kini ialah bag charm Labubu iaitu aksesori seakan keychain yang berupa patung yang digantung pada beg tangan mewah khususnya Birkin daripada Hermes. 

Ia kini menjadi simbol ‘cool’ dalam kalangan penggemar fesyen.

Labubu merupakan watak utama dalam siri figura The Monster ciptaan duo pereka dari Hong Kong, Kenny Wong dan Kasing Lung, di bawah jenama Pop Mart.

BACA LAGI: [VIDEO] Tampil berseri lepas 3 bulan berpantang, Nabila Razali definisi wanita di tangan lelaki tepat

BACA LAGI: Semoga raih pahala berpanjangan, bos Bawal Exclusive wakaf van jenazah untuk kegunaan ramai ramai

Lisa menggantung figura Labubu di beg tangannya sehingga mencuri perhatian ramai. 

Karakter Labubu ini mempunyai rupa gigi tajam dan mata besar, sekali imbas nampak seperti makhluk hutan yang nakal tetapi penuh ekspresi.

Ia bukan sekadar comel, tetapi juga mencetuskan rasa pelik, sesuatu yang menarik bagi penggemar fesyen yang mahu tampil unik dan berbeza.

Apa yang menjadikan Labubu lebih menarik adalah konsep jualannya yang dikenali sebagai blind box yang mana pembeli tidak tahu karakter mana yang mereka dapatkan sehingga kotak dibuka.

Konsep ini menambahkan elemen kejutan dan cabaran dalam mengumpul.

Harga satu figura Labubu biasanya bermula sekitar RM50 sehingga RM100 bagi edisi biasa, namun harga boleh mencecah ribuan ringgit bagi edisi terhad.

(Dari kiri) Araya, Jamie dan Willabelle antara pempengaruh fesyen yang menjadikan patung Labubu sebagai pelengkap gaya. — Instagram selebriti

Fenomena ini melonjak lebih tinggi apabila ramai selebriti dan pempengaruh mula menggayakan beg mereka dengan menggantung Labubu.

Pempengaruh Singapura yang dikatakan memiliki koleksi beg Birkin paling banyak di dunia, Jamie Chua, pernah dilihat menggantung Labubu edisi rare pada salah satu beg mewahnya,  manakala pempengaruh fesyen seperti Willabelle Ong menjadikan Labubu sebahagian daripada gaya hariannya.

Begitu juga pelakon dan ikon fesyen dari Thailand, Araya Alberta Hargate yang gemar menggayakan aksesori unik dalam penampilannya.

Di Malaysia, Marion Caunter pernah memuat naik gambar sesi unboxing Labubu bersama anak-anaknya, memperlihatkan bagaimana patung ini bukan sahaja digilai orang dewasa, malah turut menarik perhatian kanak-kanak.

Mereka tidak hanya menjadikan Labubu sebagai koleksi mainan, tetapi juga sebagai pelengkap gaya.

Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada populariti Labubu dalam kalangan peminat fesyen ialah pengaruh Lisa daripada kumpulan K-Pop, Blackpink.

Marion Caunter turut tidak terlepas daripada trend Labubu. — Instagram selebriti

Lisa pernah dilihat memegang patung Labubu dalam hantaran story di Instagramnya peribadi serta memuat naik gambar koleksi figura Pop Mart dalam akaun Instagram-nya.

Sebagai ikon fesyen global, apa saja yang disentuh Lisa mudah menjadi trend dan Labubu tidak terkecuali.

Fenomena beg charms Labubu ini menunjukkan bagaimana dunia fesyen semakin terbuka terhadap pengaruh budaya pop dan mainan koleksi.

Siapa sangka, patung kecil seperti Labubu boleh berdiri sama gah di sisi beg mewah bernilai puluhan ribu ringgit?

Buat masa ini, trend Labubu belum menunjukkan tanda-tanda reda malah semakin berkembang dengan pelbagai edisi baharu yang terus memikat hati penggemar. 

Dan bagi mereka yang sudah terjebak, satu Labubu selalunya tidak cukup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram