Salam terakhir buat pemimpin berjiwa tenang, tokoh wanita negara hadir beri penghormatan terakhir buat Tun Abdullah


  • Berita
  • Selasa, 15 Apr 2025

Fadhlina, Azalina dan Zaliha antara pemimpin wanita hadir beri penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah. —  Instagram/@fadhlinasidekofficial

NEGARA hari ini berkabung atas pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang menghembuskan nafas terakhir pada Isnin.

Jenazah Allahyarham disolatkan dan disemadikan di Masjid Negara, Kuala Lumpur disaksikan ribuan rakyat termasuk pemimpin negara, ahli keluarga dan kenalan rapat.

Dalam kalangan yang hadir, kelibat beberapa tokoh wanita negara dan selebriti menarik perhatian apabila mereka turut sama hadir memberikan penghormatan terakhir kepada negarawan yang dikenang atas sifat lemah lembut dan pendekatan kepimpinan yang sederhana.

BACA LAGI: Pemerkasaan pendidikan Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain di peringkat sekolah rendah antara sumbangan Pak Lah

BACA LAGI: Periksa tahap gula dalam darah jika anak anda ada 4 tanda ini termasuk obesiti

Antara figura wanita yang mencuri perhatian ialah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali. 

Isteri kepada bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu tiba dalam persalinan baju kurung hitam dan tudung putih. 

Beliau dilihat tenang namun jelas menyimpan rasa duka cita di atas pemergian seorang pemimpin yang dihormati.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh yang mementingkan nilai kesederhanaan dan pendidikan. 

Dalam satu hantaran di Instagramnya, beliau mengenang sumbangan Allahyarham menerusi pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), penubuhan Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah serta inisiatif besar seperti J-Qaf dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006–2010) yang memperkukuh sistem pendidikan dan modal insan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, turut kelihatan hadir. 

Selain itu, anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar juga hadir memberikan penghormatan. 

Turut kelihatan, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil turut menyampaikan rasa dukacita dan penghormatan terhadap jasa Allahyarham. 

Selain tokoh, penampilan pelakon tersohor, Tan Sri Michelle Yeoh turut mencuri perhatian. 

Perangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 tersebut hadir dengan mengenakan selendang menutupi kepala dan kaca mata hitam. 

Kehadiran beliau menggambarkan rasa hormat yang mendalam terhadap tokoh negara itu.

Tun Abdullah atau mesra disapa sebagai Pak Lah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 85 tahun selepas mengalami sesak nafas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram