Semarakkan Aidilfitri demi adik, Noor Farleny tak boleh lupa baju raya putih permintaan terakhir ibu


  • Massa
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Gambar kenangan keluarga Noor Farleny (berdiri kiri) bersama abang (tengah), Noor Hidayah (berdiri kanan) dan kedua-dua orang tua mereka.

SETIAP kali menjelang Aidilfitri, perasaan rindu dan kehilangan semakin mengusik jiwa bagi mereka yang kehilangan orang tersayang.

Sambutan yang dahulunya penuh keceriaan kini hanya tinggal kenangan.

Bagi Noor Farleny Mohamad Nor, Syawal tahun ini sekali lagi mengingatkan detik-detik manis bersama kedua-dua orang tuanya yang telah pergi lebih sedekad lalu.

BACA LAGI: Senasib syiling, not kertas RM1 dianggap tiada nilai jadi duit raya, generasi muda lebih suka terima 'e-Wallet'

BACA LAGI: [VIDEO] 'Mungkin ALLAH nak beri saya syurga', kakak sabar jaga adik hilang tempurung kepala, terlantar akibat kemalangan ragut nyawa ibu bapa

Walaupun sudah 13 tahun berlalu, kemalangan ngeri yang meragut nyawa ibu dan bapanya masih segar dalam ingatan.

Lebih menyayat hati, tragedi berdarah itu turut menyebabkan adiknya, Noor Hidayah Mohamad Nor, 35, lumpuh dan mengalami kecederaan serius sehingga kehilangan sebahagian tempurung kepalanya.

Petanda pemergian ibu

Noor Farleny (kanan) tekad untuk terus menjaga adiknya, Noor Hidayah sehingga ke akhir hayatnya.

Mengimbau kembali peristiwa hitam itu, Noor Farleny tidak menyangka bahawa permintaan ibunya untuk berhari raya dengan berbaju putih seakan-akan memberi petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.

"Mak ajak beli awal, takut tak sempat dan tahun itu, dia sebut berkali-kali. Kami kata masih ada masa, tapi dia tetap berkeras mahu beli awal.

"Akhirnya, kain sempat dibeli, tetapi baju raya itu tidak pernah dijahit," katanya dengan nada sebak kepada Majoriti.

Menurut wanita berusia 43 tahun itu lagi, ibunya jarang menentukan tema warna pakaian raya keluarga.

Namun, pada tahun terakhir sebelum pemergiannya, ibunya memilih warna putih, sesuatu yang luar biasa kerana dia jarang memakai warna itu kerana mudah kotor.

Hasrat ibunya untuk bergambar bersama keluarga juga tidak kesampaian. Tahun 2012 menjadi tahun yang paling sunyi bagi mereka sekeluarga kerana mereka langsung tidak membeli baju raya akibat kesedihan yang begitu mendalam.

"Rasa kehilangan itu terlalu besar. Sejak itu, setiap kali raya, pasti ada ruang kosong dalam hati.

"Malah suasana beraya di rumah mak di Taiping, Perak tidak semeriah dahulu," katanya.

Rindu masakan air tangan ibu

Demi anak dan adiknya, Noor Farleny berusaha untuk meneruskan kehidupan dan memastikan kemeriahan Aidilfitri tidak pudar.

Selain baju raya, Noor Farleny turut merindui hidangan air tangan arwah ibu yang menjadi kegemaran seisi keluarga seperti daging masak hitam, rendang ayam, kuah kacang, dan rempeyek.

"Saya boleh masak sendiri, tapi tetap rasa lain. Tiada siapa yang boleh menggantikan air tangan seorang ibu," luahnya penuh emosi.

Dia juga terkenang bagaimana ibunya akan mengejutkan mereka sekeluarga di pagi raya dengan cara tersendiri.

"Mak takkan berhenti panggil kami sampai semua bangun. Kalau masih tidur, dia akan tutup kipas dan penyaman udara.

"Kami bangun dengan rasa marah, tapi itulah caranya yang kini saya rindu," katanya sambil mengimbau memori silam.

Meneruskan tradisi Aidilfitri

Walaupun bertahun telah berlalu, kehilangan insan tersayang tetap dirasai.

Namun, demi anak dan adiknya,Noor Farleny berusaha untuk meneruskan kehidupan dan memastikan kemeriahan Aidilfitri tidak pudar.

"Saya tetap belikan baju raya untuk Noor Hidayah, walaupun dia tidak boleh memakai baju kurung dengan keadaan dia sekarang.

"Dia suka nasi impit, lemang dan rendang ayam, jadi saya pastikan semua itu ada. Sekurang-kurangnya, kemeriahan itu masih dapat dirasakan walaupun tanpa ayah dan mak," ujarnya.

Aidilfitri bagi Noor Farleny bukan sekadar perayaan, tetapi juga satu peringatan akan kasih sayang, kehilangan, dan ketabahan dalam meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang di sisi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram