
TIDAK semua insan bertuah untuk menikmati kasih sayang atau perhatian daripada keluarga kandung.
Bagi golongan anak yatim piatu atau asnaf, cabaran hidup mereka mungkin lebih besar apabila tiadanya bimbingan dan tempat bergantung.
Menyedari hakikat itu, Rumah Perlindungan Nur Qaseh, Taman Melawati, Kuala Lumpur ditubuhkan untuk menyediakan perlindungan dan pendidikan kepada mereka yang memerlukan.
Roslida (belakang, lima dari kiri) bersama antara penghuni perempuan Rumah Perlindungan Nur Qaseh.
Mula ditubuhkan pada 6 April 2011, badan bukan kerajaan (NGO) yang dinaung oleh pengasasnya, Roslida Che Wail, itu juga menjadi tempat bergantung untuk kanak-kanak seawal usia sebulan hingga 17 tahun.
Menyelami kisah di sebalik rumah perlindungan itu, wanita berusia 55 tahun tersebut berkata, pada awalnya ia ditubuhkan khusus buat kanak-kanak wanita.
"Nama Nur Qaseh sebenarnya diambil sempena anak-anak yang saya bawa masuk pada awal rumah ini dibuka.
"Antara sebab lain ia diberi keutamaan pada perempuan juga adalah kerana saya hanya memiliki dua anak lelaki.
"Jadi, mereka di Rumah Nur Qasehlah anak-anak perempuan saya," katanya kepada Majoriti.
Roslida bagaimanapun berkata, seiring waktu berlalu, rumah perlindungannya itu kini dibuka kepada kanak-kanak lelaki yang memerlukan.
Katanya, keputusan untuk membuka sebuah rumah kebajikan adalah selepas aktif dalam bidang NGO dan melihat keperluan dalam membantu masyarakat.
"Saya melihat sendiri kesusahan yang dihadapi oleh anak-anak yatim dan asnaf sepanjang lakukan aktiviti kemasyarakatan ini.
"Mereka bukan hanya memerlukan tempat tinggal, tetapi juga pendidikan dan kasih sayang. Itulah yang mendorong saya untuk menubuhkan rumah ini," ujarnya.
Menurutnya, rumah kebajikan itu bukan sahaja menyediakan tempat tinggal yang selesa, malah turut memberi akses kepada pendidikan formal dan kemahiran hidup.
Roslida yang hanya mempunyai dua anak lelaki (dua kiri)
Anak-anak yang menghuni rumah itu juga diberi peluang untuk bersekolah serta mengikuti kelas-kelas tambahan bagi meningkatkan pencapaian akademik mereka.
Penyelamat kanak-kanak terbiar
Sepanjang lebih 10 tahun menyelia rumah kebajikan itu, semestinya pelbagai ragam dan situasi pernah dihadapinya.
Kata Roslida, antara situasi yang meruntun jiwa pernah disaksikannya adalah ketika menerima bayi seawal usia dua hari.
"Kami pernah ambil bayi umur dua hari dan kita besarkan hingga usia 40 hari kerana ibunya tidak ada kemampuan dari segi kewangan.
"Dalam keadaan begitu, kami akan jaga anaknya manakala, ibunya pula kami akan beri peluang untuk dia bekerja dengan kami supaya boleh jana pendapatan walaupun sedikit.
"Bukan itu sahaja, saya pernah juga ambil kanak-kanak yang tinggal di bawah jambatan bersama ayahnya.
"Kami jaga dan hantar dia ke sekolah sehingga universiti dan ayahnya pula serah pada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM)," jelasnya.
Bayi seawal usia sebulan juga diterima untuk dirawat di rumah kebajikan tersebut.
Lawan fitnah dan tomahan
Sebagai tonggak wanita dalam keluarga, Roslida memperlihatkan sisi dirinya yang cekal dan tabah menenmpuhi segala dugaan itu.
Katanya, menjalankan sebuah rumah kebajikan tanpa sebarang bantuan konsisten daripada pihak kerajaan bukanlah perkara mudah.
"Kita di sini memang memilih untuk tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penghuni kerana saya tahu keadaan mereka yang sehelai sepinggang.
"Jadi, semua keperluan mereka kami sediakan dan memang tidak dinafikan agak mencabar untuk mendapatkan dana.
"Tetapi, saya bersyukur kerana bangunan yang saya sewa ini tidak mahal dan pemiliknya juga sangat baik hati serta memahami keadaan semua anak-anak.
"Nak dapatkan kepercayaan juga bukan senang, pernah juga terima surat fitnah mengatakan saya tidak jaga anak-anak ini dengan baik dan sebagainya," ceritanya.
Justeru, Roslida mengambil langkah menggunakan kemahirannya dalam dunia perniagaan untuk menjual produk makanan sebagai sumber pendapatan buat menampung penghuni di Rumah Nur Qaseh.
Produk sambal paru yang dijual sebagai dana tambahan.
Pihaknya bersama penghuni berusaha menjual sambal paru sedia untuk dimakan yang hanya berharga RM10 setiap satu paket.
Katanya, hasil tersebut juga akan digunakan untuk menampung keperluan seramai 150 penghuni yang berdaftar dengan rumah kebajikan tersebut.
Walaupun tidak semua individu mampu melakukan perkara sama, namun bagi Roslida, ia adalah amanat dan tugas yang perlu dilakukan demi kesejahteraan masyarakat.
"Kalau ikutkan memang ada kala saya berada di titik terendah dek kata-kata negatif orang luar.
"Tetapi, bila saya lihat mereka ada yang nak makan pun tak mampu, ia lebih menguatkan saya untuk bantu mereka.
"Saya fikir, sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk bergantung dan boleh hidup macam kanak-kanak normal.
"Kepuasan dapat lihat anak-anak ini membesar dan mampu bantu keluarga mereka sangat berharga," simpulnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram