
PELAJAR cemerlang Program International Baccalaureate (YTP-IB MARA) dari Kolej MARA Banting, Leia Mayssa Masyerin mencipta sejarah membanggakan Malaysia apabila berjaya menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Komputer di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat bagi sesi kemasukan 2025.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Hi-Edu MARA menerusi hantaran di Facebook, sekali gus menarik perhatian ramai yang kagum dengan pencapaiannya di peringkat antarabangsa.
Leia bukan sekadar pelajar akademik yang cemerlang, malah namanya sudah lama dikenali dalam dunia Matematik.
Beliau mewakili Malaysia dalam International Mathematical Olympiad (IMO) selama tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024.
Dalam kejohanan berprestij itu, Leia berjaya membawa pulang satu pingat gangsa dan dua anugerah Honorary Mentions yang membuktikan kebolehannya bersaing di peringkat dunia.
IMO yang disertainya berlangsung di Oslo, Norway (2022), Chiba, Jepun (2023) dan Bath, United Kingdom (2024).
Selain itu, Leia turut terpilih untuk menyertai Kem Matematik Antarabangsa Maths Beyond Limits di Rycerka Dolna, Poland dari 8 hingga 21 September 2024.
Program itu menghimpunkan 60 pelajar terbaik dari 32 negara yang memberikan mereka peluang untuk berkongsi minat dan membina rangkaian global dalam komuniti akademik.
Kejayaan Leia turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk netizen yang meluahkan rasa bangga dan kagum dengan pencapaiannya.
Rata-rata komen memuji usaha serta kerja kerasnya hingga berjaya menembusi institusi ternama dunia seperti MIT.
Seorang pengguna media sosial, Maverick Rizz menyatakan bahawa Leia bukan sahaja meraih kejayaan dalam IMO tetapi juga pernah memenangi pingat emas dalam International Junior Math Olympiad (IJMO).
"Beliau juga merupakan alumni Genius @ Permata Pintar (UKM), sebuah program pendidikan khas untuk pelajar berbakat tinggi di Malaysia," katanya.
Pusat PERMATA Pintar Negara turut menzahirkan ucapan tahniah dan mengakui keputusan cemerlang Leia dalam PERMATA@Pintar High School Diploma telah membantunya mencapai impian ke MIT.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain serta mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” menurut kenyataan rasmi institusi tersebut.
Personaliti televisyen, Fedtri Yahya turut berkongsi keterujaannya menerusi hantaran di Twitter.
“Tahniah. Bukan senang nak tembusi MIT,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram