
NAMA Scha Alyahya bukan asing dalam industri hiburan tanah air. Sebelum menceburi bidang lakonan dan pengacaraan, beliau asalnya seorang peragawati.
Dikenali sebagai antara selebriti paling bijak bergaya, ibu kepada dua orang anak perempuan itu sering menjadi undangan ke acara fesyen antarabangsa.
Setelah sekian lama menjadi 'wajah' kepada pelbagai jenama fesyen, kini Scha melancarkan jenamanya sendiri, Ayaaya yang tampil dengan koleksi beg tangan.
Kepada Majoriti pemenang Dewi Remaja 2005/2006 itu berkongsi kisah di sebalik pelancaran tersebut.
BACA LAGI: Suka menyendiri lebih cenderung untuk 'overthink', pandangan umum cara menangani serangan panik
Idea untuk menghasilkan Ayaaya bermula dengan perbincangan santai bersama Awal. — Ayaaya
Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean binti Syed Mahadzir Al-Yahya, 42 yang telah lama berada dalam industri hiburan dan fesyen, menganggap pelancaran ini bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi juga satu penghormatan kepada arwah ibunya yang menjadi sumber inspirasi utama di sebalik jenama ini.
Menurut Scha yang juga isteri kepada pelakon dan pengacara, Awal Ashaari, 44, idea untuk memiliki jenama fesyen sendiri telah lama bermain di fikirannya, namun dorongan terbesar datang daripada arwah ibunya yang menghembuskan nafas terakhir pada 7 Disember tahun lalu.
“Arwah ibu saya pernah bertanya, ‘bila lagi nak ada jenama sendiri?’ Setiap kali saya menghadiri acara fesyen dan membawa beg tangan yang saya suka, saya selalu kongsi dengan ibu saya.
"Beliau selalu menjadi orang pertama yang saya hadiahkan beg saya. Ada beg yang beliau sangat suka sehingga beliau simpan kerana sayang untuk memakainya. Dah lama Scha simpan benda (impian) ini,” katanya penuh emosi.
Sudah tiba masa
Sebagai seorang yang aktif dalam dunia fesyen, Scha berkata, inspirasi untuk menghasilkan koleksi ini datang daripada keinginannya untuk berkongsi gaya peribadinya dengan peminat dan pengikutnya, serta untuk mengenang kasih sayang ibunya.
“Saya sudah lama berada dalam industri ini dan ia menginspirasikan saya untuk memiliki sesuatu yang datang dari hati saya sendiri. Saya mahu ada satu hubungan istimewa bersama peminat dan pengikut saya, terutamanya mereka yang mengagumi gaya saya,” tambahnya.
Scha turut berkongsi bahawa idea untu menghasilkan jenama ini bermula dengan perbincangan santai bersama Awal yang kemudian berkembang menjadi idea yang lebih serius.
“Saya memang sudah lama teringin memiliki jenama sendiri, dan saya rasa ini adalah masa yang sesuai. Saya fikir, kalau nak buat sesuatu, ia mestilah dalam dunia fesyen kerana saya bermula sebagai model sebelum menceburi bidang lakonan,” katanya.
Koleksi Hey June menampilkan beg tangan sebagai koleksi debut Ayaaya. — Ayaaya
Simbol kasih sayang dan kekuatan
Jenama Ayaaya bukan sekadar memperkenalkan rangakaian beg tangan sebagai koleksi pertamanya yang dipanggil 'Hey June'.
Pelakon drama Awan Dania itu juga merancang untuk meluaskan jenama ini melalui penghasilan aksesori lain serta koleksi-koleksi baharu pada masa hadapan.
“Ini bukan sekadar beg tangan sahaja. Saya ada banyak lagi perancangan selepas ini seperti aksesori dan koleksi lain, insya-Allah,” ujar Scha.
Namun, proses untuk merealisasikan impian ini bukanlah mudah. Scha mengakui bahawa sebelum ini beliau pernah mencuba beberapa usaha perniagaan tetapi tidak dapat memberi sepenuh perhatian kerana masih aktif dalam dunia hiburan.
“Dulu saya pernah cuba benda lain tetapi saya tidak benar-benar fokus. Satu kaki dalam dunia hiburan, satu lagi dalam perniagaan, jadi ia tidak diuruskan dengan baik. Tetapi kali ini, saya betul-betul fokus,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, apa yang membuatkan Scha lebih hiba adalah hakikat bahawa beliau tidak dapat berkongsi detik indah tersebut dengan ibunya, tetapi percaya bahawa doa dan semangat ibunya sentiasa bersamanya.
“Saya rasa sedih, bukan sedih sebenarnya, tapi lebih kepada perasaan overwhelming sebab saya tak dapat nak berkongsi dengan dia. Tapi saya tahu dia ada bersama saya, dan doa-doa dia sentiasa ada bersama saya. Dialah yang memberi saya kekuatan, memberi saya inspirasi untuk sentiasa ingat dari mana saya berasal,” luah Scha.
Bagi Scha, arwah ibunya banyak memberikan inspirasi dan dorongan kepadanya. — Instagram/@schaalyahya
Makna di sebalik Hey June
Nama koleksi Hey June sendiri mempunyai makna istimewa, kerana 'June' diambil daripada nama asal arwah ibunya iaitu Junainah Hashim.
Menurut anak kedua daripada empat adik-beradik itu, setiap kali beliau menghubungi ibunya, kata pertama yang diucapkannya ialah 'Yo, June'.
Namun, bagi menyesuaikan dengan pemasaran, nama tersebut diubah menjadi Hey June.
Mengulas lanjut mengenai keputusannya memilih tas tangan sebagai koleksi debutnya, kata Scha, beg tangan ialah aksesori penting yang boleh membawa maksud lebih mendalam.
“Bagi saya, beg tangan adalah sesuatu yang kita bawa ke mana-mana. Saya mahu orang membawa bukan sahaja beg, tetapi juga kasih sayang dan kenangan yang ingin mereka hargai.
"Jika anda berpakaian sederhana, beg tangan yang menarik boleh menaikkan gaya anda,” katanya.
Jenama Ayaaya bukan sekadar satu jenama fesyen, tetapi juga satu simbol kekuatan, kasih sayang dan positif dalam kehidupan, yang terinspirasi sepenuhnya daripada ibunya.
“Jenama ini mengingatkan saya tentang banyak perkara, terutamanya ibu saya yang banyak memberikan inspirasi dan dorongan. Ia adalah satu penghormatan kepada beliau dan juga satu cara untuk saya berkongsi sesuatu yang bermakna dengan semua orang," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram