JEPUN memulakan inisiatif inovatif menggunakan najis lembu untuk menghasilkan bahan api yang boleh digunakan dalam kenderaan, sekali gus mengurangkan emisi karbon dan membantu menguruskan sisa pertanian.
Saintis di Jepun telah membangunkan teknik yang menukarkan sisa haiwan khususnya najis lembu, menjadi sumber tenaga boleh digunakan.
Di Shikaoi misalnya, najis lembu ditukarkan menjadi hidrogen yang digunakan untuk peralatan pertanian dan perniagaan tempatan.
Pendekatan itu merupakan sebahagian usaha Jepun untuk mengurangkan jejak karbon negara itu dan mempromosikan penggunaan sumber tenaga mesra alam lebih mampan.
Bagaimanapun, penggunaan najis lembu untuk pelbagai fungsi sebenarnya sudah lama dipraktikkan di beberapa negara antaranya di India.
Pernah mencuri tumpuan pada 2019, seorang wanita bernama Sejal Shah dari Ahmedabad bertindak menutup keretanya dengan najis lembu sebagai alternatif mengatasi kepanasan melampau pada musim panas.
Terinspirasi daripada amalan tradisional yang menggunakan najis lembu untuk menebat rumah, beliau menyapukan bahan tersebut hampir keseluruhan kereta Toyota Corolla miliknya.
Ujar beliau, kaedah itu dapat menyejukkan kenderaan sedannya tanpa memerlukan pendingin hawa, sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga yang memberi kesan pada alam sekitar.
Sejal menjelaskan, selain menurunkan suhu dalam kereta, kaedah tersebut juga membantu mengurangkan kesan alam sekitar berpunca daripada penggunaan pendingin hawa, yang menyumbang kepada pemanasan global.

Sejal percaya, kaedah itu dapat menyejukkan kenderaan sedannya tanpa memerlukan pendingin hawa. — Agensi
Tindakan Sejal menerima reaksi yang pelbagai dengan ada yang memuji kreativiti beliau dalam mencari penyelesaian alternatif terhadap cuaca panas, namun ada juga meragui keberkesanan serta keselamatan kaedah tersebut.
Di kawasan luar bandar India, najis lembu sudah lama digunakan untuk mengurangkan suhu di dalam rumah atau tempat tinggal dengan cara menyerap haba dari persekitaran.
Najis lembu digunakan kerana sifatnya yang menyerap kelembapan dan mempunyai kemampuan untuk menyejukkan permukaan apabila diletakkan pada dinding atau lantai.
Ia juga sebagai alternatif untuk pendingin hawa, yang kebiasaannya mahal dan kurang mesra alam.
Walaupun amalan tersebut masih wujud dalam beberapa komuniti, ia mungkin tidak begitu praktikal atau berkesan untuk kegunaan pada kenderaan atau dalam kawasan yang lebih moden.
Dalam perkembangan sama, personaliti media sosial berasal dari Afrika, Aketch Joy Winnie juga pernah berkongsi tentang penggunaan najis lembu yang menjadi salah satu amalan tradisional untuk menyegarkan lantai rumahnya.
"Salah satu sebab utama adalah keupayaannya menghalau serangga dan haiwan berbahaya daripada memasuki rumah termasuk kala jengking dan ular.
"Selain itu, najis lembu juga mempunyai sifat antimikrobial yang mampu mencegah mikroorganisma penyebab penyakit daripada berkembang biak," ujarnya menerusi satu hantaran video di akaunTikTok miliknya.
Beliau menambah, alternatif itu menjadikan najis lembu sebagai pilihan yang selamat dan efektif untuk menjaga kebersihan rumah serta melindungi keluarga daripada risiko penyakit. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
