Wajib rakam foto, hanya 'video call' ubat rindu, 2 kanak-kanak perempuan kongsi sambut raya sederhana


  • Relaks
  • Khamis, 03 Apr 2025

Amiesya (kiri) dan Fatimah (kanan) yang menyambut Hari Raya Aidilfitri secara sederhana.

BERAYA bersama keluarga tercinta sememangnya impian semua.

Sama seperti kanak-kanak yang menghuni di Rumah Perlindungan Nur Qaseh, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Memahami serba sedikit tentang kehidupan di rumah kebajikan itu, mereka ternyata datang daripada pelbagai latar belakang.

Ada antaranya kehilangan ibu bapa sejak kecil dan yang terpaksa berpisah dengan keluarga disebabkan masalah kewangan atau kes pengabaian.

Bagi mereka, rumah perlindungan bukan sekadar tempat tinggal, tetapi juga sebuah jalan untuk memulakan hidup baharu.

Membesar sejak usia tiga hari, Fatima Zahra antara penghuni paling awal masuk ke Rumah Nur Qaseh.

BACA LAGI: Bosan diejek gemuk, ibu tunggal hisap dadah sebagai jalan pintas, tahan sakit rindu beraya tanpa anak di sisi

BACA LAGI: Peguam kongsi kisah hakim Mahkamah Syariah 'sekolahkan' suami mohon poligami lepas sebulan isteri bersalin

Fatimah (lima dari kanan, belakang) bersama penghuni Rumah Perlindungan Nur Qaseh lain.

Meskipun begitu, kanak-kanak berusia 12 tahun itu tidak sesekali menyimpan perasaan marah atau dendam terhadap kedua ibu bapanya.

Katanya, selain keadaan yang memaksa Fatimah dimasukkan ke dalam rumah kebajikan itu, tujuan lainnya juga adalah untuk mendapatkan didikan secukupnya. 

Ditanya pula tentang suasana raya, Fatimah berkata, ia tidaklah semeriah kanak-kanak lain. 

"Biasanya waktu raya akan jalan-jalan atau duduk di kampung ibu atau ayah sahaja.

"Kalau dapat luang masa dengan ibu ayah, mesti saya akan ambil gambar bersama banyak-banyak.

"Nak simpan jadi kenangan. Kadang-kadang saya akan buat poster dan simpan dalam bilik," katanya kepada Majoriti

Manakala, bagi Amiesha Angle, 12, pula hanya ingin berasakan suasana raya di kampungnya di Sarawak bersama saudara-mara. 

Menurutnya, dia dihantar ke Rumah Nur Qaseh ketika usia 9 tahun selepas perpisahan ibu dan ayahnya.

Kemeriahan suasana raya penghuni rumah kebajikan itu adalah ketika dapat berkumpul bersama.

"Awal-awal memang sedih dan kecewa. Tetapi apabbila dah lama saya dapat belajar banyak perkara dengan kawan-kawan di sini.

"Kalau nak raya pun bagi saya meriah juga sebab sentiasa ada yang belanja baju raya dan makan.

"Kalau ibu ayah pula mereka jarang melawat mungkin sebab sibuk kerja, tetapi selalu buat panggilan video," kogsinya.

Katanya, keputusan keluarga menghantarnya ke rumah kebajikan adalah untuk mengajarnya lebih berdikari. 

Di rumah perlindungan itu juga, para penghuni dibimbing untuk menjalani kehidupan yang lebih teratur.

Amiesha dan Fatimah berkata, mereka turut diterapkan untuk sentiasa menjaga kebersihan, adab dan tanggungjawab.

"Kami belajar hormat dengan orang lain, solat dan tolong-menolong antara satu sama lain," ceritanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram