Isu 'plagiat' rekaan samping motif keris, penggiat seni budaya Nusantara beri 'didikan' dari perspektif tekstil dan warisan


  • Massa
  • Rabu, 26 Mac 2025

Kebaya Societe tampil memberi pencerahan berkaitan bidang tekstil menerusi akaun Instagram milik mereka. — Instagram/@kebaya.societe

SUSULAN kontroversi berhubung penggunaan motif keris pada samping melibatkan dua jenama fesyen tempatan, pengasas Kebaya Societe yang juga penggiat seni warisan budaya Nusantara dari Singapura tampil memberi 'didikan' kepada pengguna di media sosial.

Dalam hantaran story di Instagram  yang dimuat naik pada Selasa, Kebaya Societe berkata, pihaknya hanya mahu menangani isu semata-mata untuk tujuan pendidikan dari perspektif tekstil dan warisan.

"Apa sahaja isu peribadi mereka tidak relevan. Saya tidak membela mana-mana pihak," tulis Kebaya Societe.

BACA LAGI: Perpustakaan komuniti di JB tumpuan keluarga dan kanak-kanak, hidupkan amalan derma buku

BACA LAGI: Laju balas mesej tanda prihatin, lambat dianggap main 'tarik tali' — Kajian

Tangkap layar memaparkan rekaan samping bermotifkan keris yang telah lama dihasilkan. — Instagram/@kebaya.societe

Menurut Kebaya Societe yang memetik sumber daripada beberapa ahli akademik dan pakar tekstil, objek literal sebagai motif pada kain tenunan Melayu tidak wujud sebelum tahun 1950-an.

Menyentuh aspek reka bentuk bermotifkan keris yang didakwa tidak akan dapat dilihat di mana-mana, Kebaya Societe menjelaskan ia adalah tidak benar sama sekali.

"Reka bentuk motif ini (keris) banyak ditemui terutamanya pada tahun 1960-an. P. Ramlee dan rakan artis lain juga memakai kain dengan motif tersebut dalam filem mereka," katanya.

Selain itu, Kebaya Societe turut mengulas mengenai fabrik kain Synthetic Rayon yang mula digunakan selepas zaman peperangan sekitar tahun 1960-an sekali gus bercanggah dengan kenyataan salah satu jenama terbabit yang mendakwa samping warisan keluarganya dikeluarkan pada tahun 1890-an.

"Kain tenunan termasuk songket yang dibuat pada tahun 1890-an pastinya diperbuat daripada gentian semula jadi seperti kapas atau sutera atau gabungan kedua-duanya, dan bukan bahan sintetik.

"Rayon dihasilkan secara komersial pada tahun 1910-an, kemudian dijadikan pakaian pada tahun 1920-an. Jadi, mustahil, untuk kain itu dibuat pada tahun 1890-an," jelasnya.

Dalam pada itu, isteri kepada pengasas jenama Anti-loque, Dahlia Nadirah turut mendedahkan bahawa mereka juga didakwa meniru rekaan samping jenama berkenaan.

Pun begitu, Dahlia menyatakan, Anti-loque terdahulu pernah mengeluarkan rekaan sama pada tahun 2017 dan mereka juga mengambil inspirasi daripada warisan nenek-moyang mereka

Sebelum ini, usahawan dan pempengaruh, Tyra Kamaruzzaman meluahkan rasa kecewa apabila rekaan samping suaminya, Emran Rijal didakwa telah ditiru oleh Elrah Exclusive.

Jelas Tyra, corak tersebut adalah warisan keluarganya dan telah digunakan semasa majlis perkahwinannya.

Difahamkan, pihaknya telah cuba menghubungi usahawan terlibat sejak beberapa bulan yang lalu, namun hanya menerima pelbagai alasan tanpa sebarang tindakan penyelesaian.

Pada masa sama, pihak Majoriti sedang menunggu maklum balas daripada pihak Emran berhubung hantaran yang dibuat oleh Societe Kebaya itu. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram