Uyaina kongsi pengalaman luar biasa malam Ramadan di Istanbul, suasana Masjid Aya Sofya bagaikan zaman dahulu kala


  • Relaks
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Uyaina Arshad bersyukur dapat pengalaman menyambut Ramadan dan solat Tarawih di bangunan yang dah berdiri selama lebih 1500 tahun.

RAMADAN di negara orang pasti memberikan suasana yang berbeza mengikut amalan budaya tempatan. Begitulah yang dikongsikan oleh aktres dan pengacara televisyen, Uyaina Arshad yang berkongsi detik-detik dia mengalami pengalaman Ramadan di Istanbul, Turkey.

Menerusi hantara sebuah video di akaun Instagram miliknya, Uyaina dilihat amat teruja dengan suasana di Masjid Aya Sofya yang terkenal dengan reka bentuk yang begitu luar biasa.

“Sorotan malam Ramadan saya di Istanbul pastinya adalah melaksanakan solat Tarawih di Aya Sofya. Masya-Allah, suasana dan perasaan solat di dalam masjid ini sangat lain,” katanya kapsyen di Instagram tersebut.

BACA LAGI: Balik raya di kampung tapi tidur di hotel. Berikut penjelasan Ustaz Wadi, jangan ambil ringan beberapa perkara

BACA LAGI: Barisan model Nala peraga koleksi raya sambil 'catwalk' di atas jambatan Silverlakes, Perak

Malah,  beliau turut berkongsi bagaimana Imam di sana mengendalikan solat sunat itu yang membacakan ayat surah Al-Quran agak pendek.

“Mereka buat 20 rakaat dan tiga Witir. Tapi, untuk setiap rakaat imam baca ayat yang sangat pendek. Dalam tiga hingga empat ayat sahaja untuk setiap rakaat.

“Kemudian Witir dia pula tiga rakaat sekaligus satu salam dan lepas bacaan Al-Fatihah, tak ada amin beramai-ramai. Imam yang mengetuai pun suara dia sangat beralun, dengar bacaannya rasa terbuai pula. Terutamanya bacaan selepas setiap salam,”jelasnya.

 

 

Malahan, dia turut merasa seperti zaman dahulu kala dengan lampu-lampu kuning yang menghiasi ruang masjid tersebut.

“Sejujurnya, saya rasa macam berada kat zaman dulu pula disebabkan suasana serta ‘vibe’ ketika berada dalam Aya Sofya ni sendiri.

 

Tangkap layar Instagram Uyaina Arshad menunjukkan suasana dia dalam Masjid Aya Sofya.

“Dah lah depa pakai lampu kuning dalam masjid ni, jadi ia menciptakan mood yang berbeza. Tak terungkap dengan kata-kata atas rezeki yang Allah berikan ini.

Pengacara televisyen, Uyaina Arshad.

 

“Pengalaman menyambut Ramadan dan solat Tarawih di bangunan yang dah berdiri selama lebih 1,500 tahun, merupakan memori yang akan disimpan sehingga ke akhir hayat. Syukur ya Allah, terima kasih atas rezeki ini,” ujarnya sambil memaparkan suasana di dalam masjid berkenaan.

Sebelum ini, Majoriti ada berkongsi suasana Ramadan di beberapa buah negara yang menyaksikan beberapa perbezaan unik mengikut muka bumi.

Jadi kepada anda yang ingin merasakan kelainan, bolehlah merancang dari sekarang untuk merasai suasana tersebut pada Ramadan tahun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram