
PENYANYI dan penulis lirik, Mimi Fly baru-baru ini mengejutkan peminat industri seni tanah air dengan menampilkan sisi lain dirinya yang mungkin tidak diketahui ramai.
Dijemput sebagai tetamu sebuah program televisyen swasta, kemerduan suara beliau ketika mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran meraih perhatian banyak pihak.
Pemilik nama lengkap Shamimi Amalina Norisham, 39, yang tampil manis berhijab diminta untuk membacakan potongan ayat daripada surah al-Jaathiyah, iaitu ayat 20 hingga 21.
BACA LAGI: 'Masih nampak dada', muzik video 'ganti' Mimi Fly tetap dikecam cemarkan bulan Ramadan
Alunan suara penyanyi lagu Serumpun itu berjaya memukau barisan panel program termasuk pendakwah bebas, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman yang memuji kehebatannya dalam mengalunkan ayat suci al-Quran.
“Masya-Allah, tak sangka saya. Inilah yang saya suka bila ada sahabat kita daripada kalangan penyanyi mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran, tercengang kita yang mendengarnya,” kata Ustaz Tarmizi menerusi rakaman video yang dikongsikan semula di laman Instagram milik Mimi.
Difahamkan, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Assunta, Petaling Jaya, Selangor itu memang seorang yang aktif menyertai pelbagai lapangan kurikulum ketika zaman persekolahannya.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna akaun Instagram yang juga guru kepada Mimi menerusi ruangan komen di hantaran video sama.
Menurut individu dengan nama rozainyharshiem tersebut, Mimi bukan sahaja berbakat dalam bidang seni malah beliau juga gemar mewakili sekolah menyertai pelbagai pertandingan termasuk tilawah al-Quran.
"Inilah bekas murid saya, kalau orang tanya tentang kemenjadian murid, inilah orangnya.
"Bukan sahaja dalam bidang seni, menyanyi, menari, berlakon pun boleh. (Beliau juga) pernah memenangi pertandingan kawad kaki di peringkat negeri.
"Masuk tilawah, peringkat daerah menang juga. Bersukan pun menjadi juga. Tak hairanlah jika dianugerahkan tokoh kokurikulum terbaik sekolah.
"Namun Mimi, jika memetik bintang di langit, jangan lupa kaki tetap cengkam di bumi, cikgu bangga dengan awak," tulisnya.
Membalas pesanan itu, Mimi turut menyuarakan penghargaannya terhadap guru tersebut yang banyak membimbingnya dari dulu sehingga kini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram