
PENYANYI dan penulis lirik Mimi Fly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norisham sekali lagi mencuri perhatian dengan pelancaran lagu raya berjudul Serumpun pada Jumaat.
Dalam tempoh 12 jam selepas dilancarkan, lagu tersebut berjaya mengumpul lebih 40,000 tontonan sekali gus membuktikan penerimaan luar biasa daripada pendengar.
Lagu Serumpun tampil dengan sentuhan moden yang funky dan hip, namun masih mengekalkan elemen tradisional serta sarat mesej nasihat.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Jawab hi pun merdu', TokTi selamba berbahasa Thai jawab panggilan scammer
BACA LAGI: Berhasrat mahu 'comeback' selepas bersalin, Syasya Rizal dedah alami perubahan pada suara
Serumpun berjaya mengumpul lebih 40,000 tontonan dalam masa 12 jam. —Instagram/@mimiflyyy
Lirik lagunya mengangkat konsep penyatuan masyarakat Nusantara, dengan penggunaan metafora seperti 'serai serumpun' dan 'sirih tersusun' melambangkan perpaduan dan kebersamaan dalam menyambut Syawal.
Keunikan lagu ini turut dimeriahkan dengan penampilan pakaian klasik Melayu, etnik Thai dan etnik Jawa dalam muzik videonya sebagai simbol kepelbagaian budaya yang turut meraikan Aidilfitri walaupun berbeza bangsa.
Melihat di ruangan komen pada muzik video tersebut di Youtube, rata-rata peminat teruja dengan konsep segar yang diketengahkan oleh penyanyi berusia 39 tahun itu.
"Sebagai pelajar sastera, lagu ni best! Saya suka rima lirik ini. Sangat terperinci dan penuh ideologi tentang bangsa serumpun," tulis Hasana Hasaini.
"Antara lagu raya paling bijak masa kini. Susunan moden tetapi masih mengekalkan unsur tradisional," ujar Zuhair Yusof.
"Dengan ini saya isytiharkan, mahkota lagu raya 2025 jatuh kepada Serumpun oleh Mimi Fly," kata Mawar.
Terdahulu, Mimi Fly turut mencipta fenomena menerusi lagu Angkat apabila mengetengahkan bahasa isyarat dalam gerakan tangan tariannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram