Tak jaga makan, terlalu sibuk berlatih menari, Mimi Fly dedah pernah koyak otot paha


  • Hiburan
  • Sabtu, 18 Mei 2024

Mimi pernah mengalami kecederaan koyak otot paha kaki kanan gara-gara gigih berlatih menari.

SEBUT sahaja nama Mimi Fly, pasti ramai peminat terbayang-bayang kelincahan tarian dan energi yang dibawakannya ketika menari dan mendendangkan lagu.

Tidak kekok menari di hadapan khalayak, Mimi Fly atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham ternyata hanya mempelajari seni tari menerusi televisyen.

Bakat yang ditambah dengan praktis sejak kecil membiasa dan memahirkan tubuh badannya dengan lenggok tarian yang sempurna.

"Mimi tak belajar dengan cikgu mana-mana untuk mahirkan tarian. Sejak kecil ambil ilham daripada drama-drama dan filem yang dimainkan di kaca televisyen.

BACA LAGI: Lembut tapi tegas, Sazzy Falak kongsi penat lelah dan kasih sayang besarkan anak remaja

BACA LAGI: Pernah terima 'mesej nakal', Atilia tetap bersemangat ajar peminat cilik senaman yoga demi awet muda

photo_2024-05-17_15-12-31

Mimi menggunakan bakatnya dalam tarian untuk membimbing ibu-ibu tunggal di Hippie Hub Studio, Damansara Perdana, Selangor.

"Mimi campur tarian jenis moden, superstar, Barat dan Bollywood untuk jadikan satu-satu dansa lebih istimewa dan ada identiti tersendiri," katanya kepada Majoriti.

Tidak hanya itu, Mimi berkata, sejak kecil dia kerap meluangkan masanya untuk menonton filem Hindustan yang ditayangkan saluran televisyen swasta pada setiap Sabtu.

"Cerita Hindustan diselang-seli dengan tarian yang indah dan ada seninya, jadi sejak masih budak, memang saya sukalah tengok," katanya.

Selepas berjaya mengangkat namanya dalam bidang muzik tanah air, Mimi mendedahkan bahawa dia pernah terpilih untuk membuat persembahan di negara jiran, Indonesia dalam Program D'Academy Asia.

Menceritakan pengalamannya sebelum menuju persembahan itu, Mimi berkata, dia pernah mengalami kecederaan iaitu terkoyak pada bahagian otot paha kaki kanan gara-gara terlalu gigih berlatih.

"Tidur tak cukup, rehat tak cukup sampai koyak muscle," katanya.

Wanita yang terkenal dengan lagu Superfly itu berkata, dia dimasukkan ke hospital selama dua minggu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Ambil masa untuk sembuh juga dalam dua minggu. Itulah asam garam anak seni, kadang-kadang kita mahukan semua sempurna," katanya.

photo_2024-05-17_15-27-22

Mimi belajar supaya sentiasa menitikberatkan rehat yang cukup selepas alami kecederaan.

Setelah mengalami peristiwa itu, Mimi belajar supaya sentiasa menitikberatkan rehat yang cukup selain menjaga pemakanan yang ingin diambil.

"Mimi belajar dari situ supaya walaupun sibuk dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan tapi kena tetap pentingkan nutrisi, jaga pemakanan dan pola tidur.

"Kadang kita terbiasa dah makan sesuatu sehingga tak sedar kandungan makanan itu berkhasiat atau tidak untuk kita," katanya.

Sebelum ini, Mimi terkenal dengan lagu-lagunya seperti Diam, Gusar, Ayuh Kita Merdeka dan Buaya.

Terlihat menyepi dalam industri muzik, anggota kumpulan One Nation Emcees itu sedang sibuk mengadakan kelas tarian di Hippie Hub Studio, Damansara Perdana, Selangor selain gemar berlatih yoga dan aktif gimnasium.

Lebih mengagumkan, wanita berusia 37 tahun itu berjaya menarik ramai ibu-ibu tunggal yang berminat mengikuti kelas tarian yang diadakan di tempat itu pada setiap Ahad pada pukul 5.15 sehingga 6.30 petang.

"Kebanyakan anak murid Mimi adalah ibu tunggal yang berminat dengan kelas tarian.

"Mereka luangkan waktu untuk jaga sistem kardiovaskular supaya lebih sihat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram