Lepas rugi hampir setengah juta, Noraniza lega bisnes muruku diteruskan, akui sukar cari tenaga kerja mahir


  • Bizz
  • Rabu, 19 Mac 2025

Pelawaan pihak Mydin untuk bekerjasama dengan produk Che Ani premium memberi nafas lega kepada Noraniza. — Instagram/@noraniza_idris

MENGHADAPI cabaran besar selepas mengalami kerugian kira-kira RM630,000, penyanyi dan usahawan Noraniza Idris kini menarik nafas lega apabila kilang makanan ringan muruku Che Ani Premium yang hampir ditutup dapat terus beroperasi.

Menurut Noraniza atau lebih dikenali sebagai Kak Ani, 57, situasi sukar yang dihadapi sebelum ini memberi sinar baharu apabila pihaknya menerima pelawaan daripada pasar raya Mydin untuk memasarkan produknya itu.

Baginya, ia adalah rezeki yang amat bermakna.

BACA LAGI: Bekas jurutera sanggup jual nasi lemak, kuih kumpul modal untuk buka bisnes krim pelindung matahari mesra wuduk

BACA LAGI: [VIDEO] TikTokers Sin Yee kongsi resipi ikan cuka versi Baba Nyonya, wajib guna 3 bahan utama, pastikan segar dan asli

Datuk Ameer Ali Mydin dan Noraniza menandatangani pelancaran kerjasama produk Che Ani Premium dan Mydin pada Isnin. — Instagram/@noraniza_idris

Dalam usaha memastikan kelangsungan operasi, Noraniza mengakui berdepan kesukaran mendapatkan pekerja mahir untuk memproses produk makanannya. 

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, beliau mengambil keputusan menambah bilangan tenaga kerja di kilang kepada 32 orang dan menggerakkan operasi pengeluaran selama 24 jam sehari. 

"Proses pembuatan muruku tidak sama seperti kerja di kilang biasa kerana ia memerlukan kepakaran khas. Ramai tidak dapat bertahan lama disebabkan cabaran kerja yang tinggi. 

"Kini, kami mengamalkan sistem kerja tiga syif untuk memastikan pengeluaran sentiasa berjalan dengan baik," jelasnya ketika dihubungi Majoriti.

Selain itu, syarikat beliau turut merancang memperkenalkan variasi baharu produk termasuk perisa kari, nori pedas dan ayam. 

"Kami juga sedang menilai permintaan pasaran untuk memperkenalkan pembungkusan dalam bentuk paket bagi memenuhi keperluan pelanggan," tambahnya.

Dalam pada itu, Noraniza turut menasihatkan usahawan lain agar lebih berhati-hati dalam memilih rakan niaga bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. 

Beliau menekankan kepentingan menyelidik latar belakang syarikat sebelum menjalinkan kerjasama dan elak sebarang pembayaran tanpa jaminan yang jelas.

Berhubung laporan polis, beliau memaklumkan bahawa laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, sebelum kes dirujuk ke IPD Wangsa Maju. 

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan bertanggungjawab menguruskan tuntutan terhadap individu yang berhutang dengannya. 

"Kami hanya berharap mereka membayar kembali apa yang telah diambil," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram