
KOMUNITI Orang Asli di Malaysia kini semakin menunjukkan kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pekerjaan, pendidikan, ekonomi dan banyak lagi.
Mereka semakin diterima dalam pelbagai sektor pekerjaan, dengan ramai kini mula menceburi bidang yang sebelum ini sukar ditembusi, termasuk sektor penerbangan.
Salah satu pencapaian membanggakan adalah kejayaan empat wanita Orang Asli yang telah memecah tradisi dan menjadi kru kabin pertama berkhidmat di Malaysia Airlines sejak tahun lalu sehingga kini.
MAS ni memang a true reflection of diversity and progress in Malaysian skies. Despite their humble beginnings, sekarang dah ada 4 Orang Asli flying with MAS dah and bila dengar cerita perjalanan diaorang ni, rasa macam sebak pulak
Keep flying high, girls! pic.twitter.com/mZNH9bmwKX
— ALAN KENA SABAR (@IniAlalalannn) March 11, 2025
Wanita tersebut ialah Amyisha Nurshahira Rosman daripada Suku Jakun, Sarah Elissa Tang Aman (Suku Temuan) serta Veena Angelina Jincis dan Alzariza Alwi daripada Suku Semai.
Pencapaian itu menandakan langkah besar dalam usaha memperkasakan golongan berkenaan, yang sering kali dipinggirkan daripada peluang pekerjaan dalam sektor formal.
Ia seterusnya menunjukkan bahawa mereka mampu bersaing dan berjaya dalam industri penerbangan yang kompetitif.
Kementerian Ekonomi baru-baru ini memuat naik satu hantaran video menerusi laman TikTok, memaparkan perkongsian kisah inspirasi tiga daripada empat kru kabin berkenaan.
Ujar Veena Angelina, meskipun pada awalnya kurang yakin, beliau memberanikan diri untuk mencuba selepas ditanya seorang rakan.
"Saya nak masyarakat tahu komuniti Orang Asli juga boleh berjaya seperti individu lain, jadi saya cuba.
"Kita kena berani cuba perkara baharu walaupun ia mustahil (pada pandangan) orang, tetapi kita jangan takut untuk melangkah.
"Jangan duduk dalam kepompong kita sahaja, perlu keluar juga," pesannya.
Sementara itu bagi Alzariza, perjalanannya di Malaysia Airlines tidak mudah disebabkan dirinya datang daripada keluarga kecil dan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun selepas melihat poster di media sosial yang mengkhususkan pencarian kru kabin dalam kalangan Orang Asli, beliau memperoleh keyakinan untuk mencuba nasib.
"Ketika melangkah ke dalam Akademi MAB, saya rasa sangat kecil sebab tahu saya daripada komuniti yang terpinggir.
"Namun selepas menjalani latihan untuk menjadi yakin, cara berjalan dan bercakap, kini saya rasa lebih baik," tuturnya.
Bagi Amyisha Nurshahira pula, berkhidmat dalam industri penerbangan banyak membantunya dari aspek dandanan, komunikasi dan pembawaan diri di hadapan khalayak.
"Saya tahu kaum Orang Asli ramai yang tidak yakin untuk buat. Bukan senang tapi kita boleh sebenarnya," ungkap beliau.
Kejayaan itu diharapkan memberi inspirasi kepada lebih ramai komuniti Orang Asli untuk mengejar impian mereka dalam pelbagai bidang profesional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram