Air tangan ibu jadi pilihan seisi keluarga, pakar saran libatkan anak-anak pupuk amalan memasak di rumah


  • Sihat
  • Rabu, 12 Mac 2025

Azimah (kiri) menyediakan makanan buka puasa sambil dibantu ibu mertuanya, Kamariah Yusoff ,72.

DENGAN penekanan terhadap gaya hidup sihat dan aktif selepas pandemik Covid-19, kebanyakan keluarga kini memilih untuk menyediakan masakan rumah berbanding membeli makanan dari bazar Ramadan.

Azimah Abdul Aziz, 41, berkata, amalan menyediakan hidangan masakan rumah untuk berbuka puasa sudah menjadi kebiasaan keluarganya sejak beberapa tahun lalu. 

Menurutnya, suami dan anak perempuannya lebih gemar menikmati makanan yang dimasak di rumah berbanding yang dibeli di kedai atau bazar Ramadan.

BACA LAGI: Ramai pilih masak dan makan di rumah kerana lebih murah

BACA LAGI: Kes 2 pelajar maut keracunan, KKM sahkan sarapan disediakan pengendali makanan luar

Pengurus sumber manusia itu juga percaya, memasak di rumah bukan sahaja lebih berpatutan, tetapi menawarkan pemakanan lebih berkhasiat.

“Dengan memasak di rumah, saya dapat memilih bahan-bahan segar, mengurangkan penggunaan minyak dan gula serta memastikan hidangan seimbang untuk keluarga,” katanya. 

Ujar Azimah, beliau atau suaminya akan pergi ke pasar secara berkala untuk membeli daging dan sayur-sayuran segar bagi menyediakan hidangan berbuka puasa.

Tambahnya, disiplin memasak di rumah membantu keluarganya menjauhkan diri daripada makanan proses. 

Ibu bapa digalakkan untuk melibatkan anak-anak dalam sesi penyediaan makanan.

"Jika saya terlalu sibuk di pejabat, suami saya akan mengambil alih tugas memasak untuk berbuka puasa," katanya. 

"Membeli makanan di bazar adalah pilihan terakhir, walaupun ia memang menyeronokkan," akui beliau.

Sementara itu, Tetty Sastrica Dermawan, 46, seorang ibu yang bekerja, turut berkongsi amalan sama. 

Beliau kebiasaannya akan menyediakan dua hingga tiga hidangan berbuka puasa setiap hari.

"Makanan yang dijual di bazar Ramadan kini terlalu mahal dan kurang berkualiti. Memasak di rumah lebih menjimatkan kos," katanya.

Tetty turut meluahkan rasa puasnya apabila melihat anak-anak makan dengan berselera. 

"Saya pastikan ada makanan yang cukup untuk sahur dan simpan sebahagian di dalam peti sejuk untuk semua orang makan nanti," jelasnya. 

Menurut beliau, memasak di rumah bukan sahaja menjimatkan wang, tetapi juga memberi mereka tenaga sepanjang hari.

Hidangan berbuka puasa yang disediakan Tetty kaya dengan pelbagai sayuran dan sumber protein seperti ayam dan ikan. 

Beliau juga menyediakan jus buah sebagai sumber penghidratan yang lebih murah berbanding membeli di luar.

Pakar pemakanan daripada Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Zuhaida Harun mengakui bahawa memasak di rumah memberikan banyak manfaat kesihatan bukan hanya semasa Ramadan, tetapi juga pada bila-bila masa. 

Beliau menjelaskan, memasak di rumah membolehkan perancangan makanan yang sihat, memastikan hidangan lengkap dengan pemakanan yang diperlukan mengikut garis panduan Piramid Makanan Malaysia,” jelasnya.

Tambah Zuhaida, memasak di rumah juga membolehkan individu mengawal saiz hidangan makanan yang dimakan, selaras konsep Pinggan Sihat Malaysia. 

"Pinggan sihat seharusnya mengandungi suku pinggan bijirin, suku pinggan protein dan separuh pinggan buah-buahan serta sayur-sayuran," katanya.

Zuhaida juga mengesyorkan kaedah memasak yang sihat seperti mengukus, merebus dan memanggang. 

Selain itu, beliau menekankan pentingnya menjaga kebersihan dapur dan membasuh tangan dengan kerap semasa mengendalikan makanan.

“Libatkan anak-anak anda dalam menyediakan makanan. Mereka akan belajar dan mengamalkan tabiat ini untuk generasi akan datang,” tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram