
ACARA larian santai kini giat dijalankan oleh komuniti dan organisasi pelari dengan pelbagai tema bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
Mungkin sukar buat orang ramai untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi bagi menjalankan acara tersebut pada hari biasa berikutan kesesakan lalu lintas.
Namun sejak kebelakangan ini, acara tersebut rancak diadakan secara terbuka di sekitar bandar metropolitan ini terutama pada waktu pagi terutamanya Ahad.
BACA LAGI: Trackday uji kehebatan kenderaan, hujan tingkatkan adrenalin pemandu di SIC Sepang
BNWRC bersama pelari menjadikan Suria KLCC sebagai pit stop untuk semua peserta berkumpul rehat sebentar sebelum menghabiskan larian.
Selain daripada menyihatkan tubuh badan, anda berpeluang untuk meneroka laluan-laluan di setiap jalan-jalan yang ada di Kuala Lumpur.
Secara tidak langsung, pelancong atau penduduk luar ibu negara dapat mengenali laluan di sekitar kawasan bandar ini sambil berlari atau jogging.
Malah ia menjadi salah satu kaedah bagi meningkatkan industri pelancongan dalam bandar.
Hampir 400 orang untuk menyertai larian komuniti kelab BNWRC dengan tema "Running Because I'm Heartbroken".
Sepertimana yang disertai oleh penulis baru-baru ini, acara larian yang dianjurkan oleh Brand New Waves Running Club (BNWRC) dengan tema "Running Because I'm Heartbroken" telah membuahkan hasil.
Ia berjaya mengumpulkan hampir 400 peserta larian komuniti kelab tersebut yang turut menampilkan pelancaran barang dagangan rasmi pertama mereka selepas enam tahun ditubuhkan.
Trek larian hanya mengambil jarak 5 Kilometer (km) sahaja, namun laluannya cukup menarik.
Semua peserta telah ditetapkan untuk berlari mengikut trek yang ditetapkan termasuk melintasi banggunan beli-belah seperti Intermark Kuala Lumpur sambil dibimbing oleh perlari profesional.
Malah trek yang dilalui peserta pelbagai usia dan latar belakang itu turut meminta anda berlari di atas jejantas LRT Ampang Park.
Tiada bunyi bising kenderaan yang kuat atau kesesakan lalu lintas dilihat kerana suasana sekitar Kuala Lumpur masih tidak sesak di waktu pagi.
Setiap pelari akan dibimbing oleh pelari profesional bagi memastikan aspek keselamatan terjamin.
Acara yang penuh keceriaan itu direka untuk menyatukan pelari dari semua lapisan masyarakat, bahkan menjadi satu perayaan tentang ketahanan mental dan fizikal, komuniti serta perasaan cinta terhadap larian.
Keberhasilan "Running Because I'm Heartbroken" adalah bukti kepada minat yang semakin berkembang terhadap acara larian tempatan dan ikatan yang terjalin melalui pengalaman bersama.
Kapten BNWRC, Adam Nizam.
Penganjur merangkap Kapten BNWRC, Adam Nizam, 28, berkata acara tersebut diadakan untuk memberi inspirasi serta motivasi kepada orang ramai.
“Setengah orang berlari untuk menang, sihatkan badan atau untuk mengetepikan emosi serta tekanan dalam hidup. Jadi tema yang kami bawakan adalah untuk mereka mengekspresikan diri dengan larian.
“Kami rancang acara ini selama tiga hingga empat bulan dan mengambil kira setiap aspek terutamanya keselamatan pelari-pelari yang terlibat,” katanya.
Peserta Athirah Alffian.
Peserta Athirah Alffian,26, meletakkan acara larian komuniti bukan sebuah tempat untuk mereka melontarkan pandangan negatif.
“Sejujurnya, sebagai pelari kita jangan letakkan diri sebagai pelari wanita mahupun lelaki, sebaliknya ia sebagai senaman sambil membuka mata untuk tidak menjadi toxic kepada mereka yang ingin berlari.
“Setiap kali berlari saya akan sentiasa mencari dan mendapat kebahagiaan, komuniti berlari ini adalah platform yang tepat untuk mereka yang mahu apa yang saya dapat hari ini,”ujarnya.
Shamsul bersama barisan pertugas dan pelari MSMR 2025.
Sementara itu, sebuah lagi acara yang berlangsung baru-baru ini dan mendapat sambutan hangat ialah Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR 2025).
Bukan sekadar larian santai bersama kain sarong, Pengarah Acara dan Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman, menekankan acara itu turut mengetengahkan kemeriahan setiap etnik dan bangsa yang ada di Malaysia.
“Sepanjang larian lima kilometer dan berjalan kaki tiga kilometer di tengah ibu kota Kuala Lumpur, peserta akan lalu di celah-celah pencakar langit. Peserta akan terasa dekat di hati dan bangga melihat keagungan binaan tersebut.
“Tambah menarik, selepas habis larian, kami mempersembahkan tarian dan muzik pelbagai etnik di garisan penamat termasuk makanan tradisi daripada beberapa negeri sebagai warna-warni acara.
Kemeriahan peserta yang menyertai larian Malaysia Sarong Music Run di tengah ibu kota Kuala Lumpur.
“Secara tidak langsung, larian tersebut dapat membuka mata masyarakat betapa meriah dan aktifnya kawasan sesak yang digelar bandar raya dengan acara yang sihat. Seterusnya meningkatkan lagi industri pelancongan,” jelasnya.
Tuntasnya, acara larian di kawasan bandar mampu meningkatkan jiwa patriotik dan memberi suntikan semangat yang hebat bagi mereka yang inginkan gaya hidup sihat.
Semoga akan ada lebih banyak lagi acara seperti ini dan ia berterusan untuk seluruh masyarakat di dalam dan luar negara melihat kehebatan negara Malaysia.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram