Pengalaman lebih 25 tahun dalam dunia PR, Selina tegas influencer dan KOL tidak mampu ambil alih tempat media sebagai sumber informasi tepat dan sahih


  • Relaks
  • Selasa, 25 Feb 2025

Kerjaya PR memerlukan kemahiran pengurusan imej, reputasi, dan komunikasi organisasi atau individu dengan cara yang positif dan profesional. 

JADUALNYA sering padat dengan pelbagai aktiviti dan acara, penampilannya pula sentiasa polished dan on-point.  

Begitulah perihalnya bagi Selina Yeop Jr, 56, yang dikenali ramai kerana sifat mudah mesranya malah petah berbicara. 

Walau sudah lebih dua dekad bergelumang di dalam industri perhubungan awam (PR), beliau masih lagi ligat, seolah-olah tiada langsung istilah penat baginya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pentingnya simpan pemadam api mini, insiden 2 beradik nyaris rentung di China wajar jadi teladan

BACA LAGI: Trackday uji kehebatan kenderaan, hujan tingkatkan adrenalin pemandu di SIC Sepang

Mula menubuhkan agensi sendiri pada tahun 2000, hari ini Selina Yeop Jr adalah sebuah nama besar dalam industri.

Buka tutup sesebuah agensi itu perkara biasa. Namun, hakikat keberadaan agensi Selina mampu bertahan sehingga 25 tahun membuktikan beliau adalah antara yang terbaik dalam lapangan perhubungan awam. 

Selina sendiri amat menitik beratkan reputasi, imej yang profesional dan ketajaman komunikasi; selain percaya kepada penampilan yang membias aura positif penuh integriti. 

Maka, tidak hairanlah Selina terus relevan dalam industri malah hari ini diibaratkan seperti mentor kepada beberapa agensi baharu lain yang baru bertapak.

“Dunia PR ada cabarannya yang tersendiri. Oleh itu, kita mesti berpegang pada prinsip yang teguh. Saya percaya rahsia untuk menjadi PR yang bagus terletak pada sikap sendiri. Selain wajib memiliki integriti, kita mesti bijak merencana langkah dan kena pandai menyesuaikan diri.

“Jika anda tidak bersedia untuk berkembang dan tidak memiliki networking yang kuat, memanglah sukar untuk memenuhi keperluan pelanggan yang mempunyai kehendak berbeza-beza,” katanya.

 

Selina bersama teman-teman sewaktu menghadiri acara fesyen di Kuala Lumpur.

 

Sebagai orang lama di dalam lapangan perhubungan awam, Selina ibarat ‘PR Queen’ dalam kalangan yang mengenalinya. 

Walaupun begitu, peredaran zaman turut memberi kesan kepada landskap PR dan Selina akur dengan perubahan semasa lalu menilainya dalam persepktif berbeza.

“Dahulu, orang menilai kejayaan sesebuah kempen PR menerusi jumlah artikel yang diterbitkan di dalam dada-dada akhbar dan majalah. Kejayaan diukur melalui acara pelancaran produk, bilangan kehadiran tetamu dan sebagainya.

"Hari ini, kita boleh perhatikan kebanyakan acara dimonopoli oleh pencipta kandungan (KOL) dan pempengaruh (influencer). Mahu saya tegaskan di sini, golongan media juga masih sangat penting," ujarnya,

Tambah Selina, media amat diperlukan sebagai sumber yang menyalurkan maklumat sahih dan tepat. 

“Jika sekadar hanya menggunakan influencer, di mana pula umum mahu dapatkan informasi tulen?  

“Walaupun jemput influencer hebat-hebat, kejayaan sesebuah acara itu tetap bergantung kepada produk yang sedang dipromosikan. Jadi, saya akan meneliti setiap elemen dan menggabungkan mana yang diperlukan demi memenuhi citarasa klien,” terangnya.

Portfolio Selina meliputi pelbagai jenama dan industri; dari Nivea, Ikea hingga ke Mazda dan Aston Martin.

“Salah satu kempen yang paling saya banggakan ialah aiskrim Magnum. Kami kumpulkan model-model untuk catwalk atas landasan yang sangat panjang di kompleks beli-belah Starhill.

“Sambil itu, kami jemput Joe Flizzow dan SonaOne menyanyi sewaktu model-model sedang berjalan. Saat itu memang wow!” kongsinya.

 

Kerjaya PR melatih seseorang itu menyesuaikan diri walau di mana sahaja dan menajamkan skil komunikasi.

Dunia perhubungan awam melatih anda untuk membiasakan diri berkerja di merata-rata tempat dan melayan karenah aneka ragam manusia.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga tidak terlepas daripada suara sumbang yang mempertikaikan keberadaannya.

“Ramai orang ingat, hanya kerana saya sentiasa berada di luar negara atau kelihatan seperti bercuti ke sana sini, saya tidak mengambil berat dengan projek yang sedang dilaksanakan. walhalnya, dalam dunia ini (PR), kita boleh kerja dari mana-mana sahaja.

“Nampak seronok tapi tidak mudah. Kalau ada pasukan bagus, sistem sokongan yang betul, rakan kongsi yang tepat, kita boleh beroperasi dari mana-mana saja. Pada masa sama, kita sendiri tidak boleh culas dan tidak terlepas padang sebarang butiran kecil,” jelasnya.

Selina turut menekankan kepentingan menjaga imej dan penampilan. “Bukan hanya dalam dunia PR, industri mana-mana pun sama. Jadi jika anda bijak mengurus diri, maka separuh daripada 'pertempuran' sudah dimenangi.

 

Kini Selina banyak melakukan kerja-kerja sebagai penasihat dan perunding. 

Dalam tempoh sedekat lebih, Selina kian selesa menjadi penasihat dan perunding, lebih-lebih lagi dalam aspek merangka strategi, pembangunan produk baru dan hubungan pelabur. 

“Nak buat PR pada masa sekarang ini, tidak sama seperti dahulu - buat event, kemudian selesai. Sekarang, ia lebih kepada perundingan strategik yang memerlukan masa dan kepakaran berbeza.”— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram