Juara bina badan dunia 3 kali, ‘abang nyamuk’ pasang impian berlakon filem Yusof Haslam


  • Hiburan
  • Isnin, 10 Feb 2025

Syed Fazli Syed Ali merupakan duta produk racun serangga Shieldtox sejak 22 tahun lalu.

DUNIA pengiklanan sememangnya tidak asing lagi buat Syed Fazli Syed Ali, 54, yang cukup dikenali sebagai duta utama produk racun serangga, Shieldtox.

Mula berperanan sebagai duta sejak 2003, sehingga kini Syed Fazli atau lebih mesra dengan gelaran abang nyamuk itu sudah memasuki tahun ke-22 bersama produk berkenaan.

Bagaikan tak lapuk ditelan dek zaman, penampilannya masih relevan di samping fizikal badannya yang kekal ideal dan menarik di hadapan lensa kamera.

BACA LAGI: [VIDEO] Dipaksa Rosyam Nor 'transform' jadi budak lelaki, Amir 'Suami, Isteri &...' kini usahawan kosmetik disegani Asia Tenggara

BACA LAGI: Asalnya lagu tema AADK, Bandi Amuk tuai lirik 'Aku Mahu Pulang' khas buat tahanan di balik tirai

Mungkin ramai tidak tahu bahawa anak kelahiran Kluang, Johor itu sebenarnya merupakan bekas ahli bina badan negara dan pernah menjuarai kejohanan dunia sebanyak tiga kali satu ketika dahulu.

Mewakili Malaysia di pentas antarabangsa, keupayaannya dalam mengekalkan saiz dan berat badan ideal membuktikan dirinya bukan sekadar penghias muka hadapan produk, malah lebih besar daripada itu.

Bercerita lanjut soal kariernya sebagai duta Shieldtox, Syed Fazli berkongsi bahawa segala latihan dan senaman fizikal dilakukan adalah komitmen dituntut pihak atasan jenama berkenaan.

Jelasnya, selama 22 tahun bergelar duta, dia perlu mengekalkan bentuk badan menarik dan fizikal sihat demi melancarkan urusan pengiklanan dan rakaman bersama produk terbabit.

“Saya buat badan dan latihan senaman ni semuanya atas tuntutan komitmen syarikat, mereka minta saya kekalkan saiz badan, sado untuk jadi duta.

“Dah 22 tahun saya kekal dan kontrak disambung sebab mereka berpuas hati dengan imej dan pulangan saya bawakan, ini memang karier saya jadi saya minat.

“Lagipun saya memang ahli bina badan negara, biasa buat badan bersenam sejak muda lagi jadi dah terbiasa dan sukakan senaman fizikal di gim,” katanya kepada Majoriti.

465458798_9095098370520515_6523281590240224087_n

Syed Fazli merupakan bekas ahli bina badan negara.

Dalam pada itu, Syed Fazli turut menyuarakan hasratnya untuk menceburi bidang lakonan jika diberikan peluang satu hari nanti.

Akui dirinya semakin dikenali ramai menerusi iklan di televisyen, dunia lakonan antara perkara baharu yang ingin dicuba biarpun pernah beberapa kali menolak tawaran itu sebelum ini.

“Dulu saya pernah tolak beberapa tawaran berlakon pasal tak minat dengan komitmen masa dan cabaran sebagai pelakon, sekali je muncul dalam filem Buli Balik arahan Datuk Afdlin Shauki.

“Lepas daripada itu banyak produksi panggil saya untuk berlakon tapi tolak sebab nak fokus mewakili negara sebagai ahli bina badan.

“Sekarang bila dah capai tiga kali juara dunia, Asia sekali saya fikir apa lagi nak dikejarkan, itu bila fikir balik teringin juga nak berlakon, kalau dapat bawah arahan Datuk Yusof Haslam pun bagus saya minat kualiti yang dia ada,” ujarnya.

Gemar berkongsi tip kesihatan pada masyarakat, bapa kepada seorang cahaya mata perempuan itu banyak diundang dalam seminar korporat membabitkan pelbagai syarikat besar tempatan.

Tidak terlintas untuk berhenti daripada bidang diceburinya, Syed Fazli berharap agar 2025 dia diberikan kesihatan baik di samping keluarga bahagia dan fokusnya utamanya adalah untuk terus berkongsi ilmu kepada masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram