Elak berkeliaran, kerajaan Selangor pinda Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971


  • Primer
  • Khamis, 06 Feb 2025

Isu lembu berkeliaran tanpa pengawasan kian meruncing di Selangor kebelakangan ini. — Gambar hiasan

KERAJAAN Selangor akan meminda Enakmen Kawalan Lembu-Kerbau 1971 bagi menangani isu lembu berkeliaran di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim dalam satu kenyataan berkata, pindaan itu penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang lancar dan teratur terhadap penternak yang membiarkan lembu mereka bebas berkeliaran.

“Pindaan itu akan merangkumi penggubalan kaedah pelesenan lembu-kerbau yang dijangka dapat menyelesaikan beberapa masalah sedia ada bagi menambah baik penguatkuasaan.

"Salah satu penyelesaian yang boleh diberikan adalah keupayaan untuk mengenal pasti pemilik lembu dan kerbau melalui penandaan atau tanda pengenalan lain," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu Alza langgar mati pelajar cemerlang negatif dadah, dibebas dengan jaminan polis

BACA LAGI: [VIDEO] Leka jawab panggilan telefon ketika bertugas, pekerja kilang di Pakistan maut 'ditelan' mesin kertas

Dalam jangka pendek Izham berkata, kerajaan negeri akan menjalankan operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, pejabat daerah dan tanah serta polis bagi membendung isu itu.

“Undang-undang lain yang sedia ada, seperti Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan banyak lagi akan turut dikuatkuasakan terhadap pemilik ternakan yang tidak bertanggungjawab,” tambahnya.

Beliau seterusnya menegaskan kerajaan negeri memandang serius isu tersebut.

“Selangor kini mempunyai 39,941 ekor lembu dan kerbau termasuk pengeluaran daging lembu, fidlot dan tenusu. 4,000 daripadanya, yang dipercayai dimiliki oleh 150 petani, didapati bebas berkeliaran, menurut kajian.

“Ini telah menyebabkan pelbagai masalah seperti kecederaan, kematian, pencemaran dan kerosakan kepada aset awam,” katanya.

Tambahnya, kawasan penternakan yang sesuai untuk lembu dan kerbau semakin berkurangan berikutan pembangunan pesat di negeri ini.

“Sesetengah penternak telah bertukar kepada sistem penternakan yang lebih sesuai seperti penternakan intensif namun, segelintir daripada mereka masih enggan berubah dan masih mengamalkan kaedah penternakan bebas.

“Sebagai negeri yang maju dan boleh didiami, Selangor tidak akan berkompromi dengan pemilik yang hanya membebaskan lembu dan kerbau mereka sehingga menimbulkan masalah kepada negeri ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram