
BEBERAPA inisiatif dilakukan Suria FM bagi terus mengukuhkan kedudukannya memasuki tahun 2025.
Pembaharuan itu dimulakan dengan perubahan waktu siaran segmen Suria Cinta kendalian Roslinda Abdul Majid ataupun DJ Lin yang selepas ini bakal memberikan fokus lebih di bahagian pengurusan.
BACA LAGI: Suria FM kongsi rezeki, tawar RM36,000 untuk pendengar setia
BACA LAGI: Suria FM tawar sebahagian RM30,000 kepada pendengar menerusi peraduan 'Selit Duit Suria'
Bagi mengubati kerinduan peminatnya, segmen tersebut hanya akan dikendalikannya pada setiap hujung minggu, Sabtu dan Ahad bermula pukul 8 malam hingga 1 pagi.
DJ Lin hanya akan ke udara menerusi segmen Suria Cinta pada hujung minggu.
Justeru bermula Mei ini, Nur Imanina Mohd Hisham atau lebih mesra dipanggil Iman, akan mengendalikan segmen baharu yang ke udara bermula pukul 8 malam hingga 12 malam setiap Isnin hingga Jumaat.
Segmen ini berkonsepkan interaktif dengan pengisian lebih santai serta mengikut trend terkini dalam usaha menarik minat pendengar generasi muda.
Sementara itu, hujung minggu Suria FM turut ditambah baik dengan Suraya Borhan akan diberi tanggungjawab untuk mengendalikan segmen Suria Hujung Minggu (6 pagi hingga 10 pagi) dan Hello Suria (2 petang hingga 7 malam).
Bersandarkan pengalaman luas dimiliki sebagai penyampai dan penerbit, Suria FM yakin bahawa Suraya mampu membawa nafas baharu kepada segmen berkenaan.
Perubahan ini adalah sealiran dengan perancangan Suria FM untuk tidak mengabaikan segmen hujung minggu dan dapat menarik minat penaja.
Bagi tujuan menarik lebih ramai pendengar muda dan baharu untuk Morning Morning Suria, Kai Hassan akan digandingkan bersama Ajak dan Dato Fizz Fairuz.
Dalam pada itu, Cik Piah kekal mengendalikan segmen Gaya Suria dan Muzik Top Suria dari pukul 10 pagi hingga 3 petang, setiap Isnin hingga Jumaat manakala Sharifah Shahirah (Rara) dan Chiwan juga masih mengendalikan Suria Petang setiap Isnin hingga Jumaat.
Perubahan strategik ini bertujuan memastikan Suria FM terus kekal sebagai pilihan utama pendengar dengan sajian kandungan yang segar serta mengekalkan daya tarikannya yang tersendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram