[VIDEO] Insiden brek mengejut di Kuala Langat, wanita dan pemandu teksi disaman kerana gagal kawal kenderaan


  • 112
  • Isnin, 10 Feb 2025

Tangkap layar insiden kemalangan membabitkan seorang wanita yang didakwa berpelakuan biadab di Kuala Langat pada Ahad.

KEMALANGAN tular membabitkan seorang pemandu wanita berkelakuan biadab terhadap pemandu teksi meraih perkongsian hangat di laman sosial sejak Ahad.

Kejadian yang berlaku di Kilometer 20.2 Lebuhraya ELITE menghala ke selatan Kuala Langat itu tercetus akibat pelanggaran melibatkan dua buah kereta iaitu Proton Saga dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dipandu seorang lelaki berusia 50an.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga dipandu seorang wanita telah membrek untuk memperlahankan kenderaan akibat kesesakan lalu lintas.

BACA LAGI: [VIDEO] Terjatuh bersama motosikal, mayat remaja lelaki ditemukan dalam sungai di Pendang

BACA LAGI: Kes tembak Setia Alam: Suspek berkulit cerah, lepas tembakan sebab disuruh alih barang — Pengarah JSJ

Malang tidak berbau, keretanya dirempuh Innova yang dipandu pemandu teksi terbabit yang datang dari arah belakang ketika kejadian.

"Impak pelanggaran menyebabkan Toyota Innova itu rosak di bahagian depan manakala Proton Saga di bahagian belakang.

"Kedua-dua pemandu tidak mengalami apa-apa kecederaan dan telah hadir membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, kedua-dua pemandu disaman di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 atas kesalahan gagal mengawal kenderaan menyebabkan kemalangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Mohd. Amin Azahan Saleh di talian 019-7800942 atau 03-31872222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram