
PENEMUAN 10 ekor bangkai kucing yang dibuang dalam plastik hitam di Jelutong, George Town, Pulau Pinang pada Sabtu berpunca akibat kekurangan tapak pengebumian haiwan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPVPP).
Pengarahnya, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, ia susulan siasatan dijalankan terhadap pemilik pusat perlindungan Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Pulau Pinang baru-baru ini.
"Menurut pemiliknya, kesemua kucing tersebut sudah mati dan dibuang dengan cara itu kerana pusat perlindungan berkenaan tidak mempunyai tapak pengebumian atau pembakaran mayat yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, tular rakaman di Facebook memaparkan bungkusan plastik hitam berisi bangkai kucing dibuang dalam tong sampah berhampiran pejabat SPCA.
Dr Saira Banu berkata, pegawai JPVPP yang memeriksa premis SPCA tidak menemukan sebarang bangkai kucing atau haiwan lain.
Jelasnya, tiada tanda penderaan atau kekejaman terhadap haiwan semasa pemeriksaan itu dijalankan.
Namun begitu, JPVPP tidak dapat mengesahkan punca kematian kucing berkenaan kerana ia dibuang oleh individu tidak dikenali.
“Kami akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Beliau pada masa menjelaskan, pihaknya memandang serius perkara itu dan mengingatkan pengurusan SPCA untuk mengendalikan haiwan yang mati akibat sakit atau sebab lain dengan sewajarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram