
PUSAT kitar semula pandu lalu pertama di Pulau Pinang dikenali sebagai Drop for Cash, telah dilancarkan di Taman Sri Pinang, Jelutong, George Town.
Projek anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu bertujuan menggalakkan kitar semula dengan menawarkan wang tunai sebagai pertukaran.
Inisiatif itu yang mula beroperasi pada 1 Februari lalu membolehkan penduduk menukar bahan kitar semula mereka dengan wang tunai yang ditawarkan untuk setiap 3 kilogram (kg) bahan kitar semula.
BACA LAGI: [VIDEO] Pelancong AS terjatuh di Gurney Plaza stabil, ada masalah dengan kekasih — Polis
Bercakap pada majlis pelancaran itu, Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk A. Rajendran berkata, barangan kitar semula seperti aluminium, kertas, plastik dan lain-lain boleh ditukar dengan wang tunai.
“Pembayaran akan dipindahkan melalui e-dompet dan diproses dalam tempoh 12 hingga 36 jam,” katanya.
Rajendran dalam masa sama turut melaungkan keyakinan terhadap penubuhan pusat kitar semula tersebut.
"Saya percaya ramai orang akan mengambil kesempatan daripada inisiatif ini kerana ia terletak diletakkan di lokasi strategik," katanya.
Inisiatif ini sejajar dengan matlamat MBPP untuk meningkatkan kadar kitar semula di Pulau Pinang.
Untuk rekod, negeri tersebut pada 2024 mencapai kadar kitar semula sebanyak 41.78 peratus, melepasi purata negara sebanyak 35.38 peratus.
Bagi menyokong usaha tersebut, orang ramai boleh mengimbas kod QR di pusat kitar semula berkenaan untuk mendapatkan resit ataupun pelekat disediakan.
Resit berkenaan mesti dilampirkan pada barang kitar semula dan rebat tunai kemudiannya akan dikreditkan ke e-dompet pemilik.
"Kami percaya usaha ini mampu menggalakkan pelupusan barangan kitar semula dengan cara yang betul," tambahnya.
Pengerusi jawatankuasa pembangunan sosial, kebajikan dan hal ehwal agama bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim turut menegaskan kepentingan inisiatif sedemikian untuk mengurangkan beban tapak pelupusan di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada masa akan datang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram