[VIDEO] Tak cukup bajet, Sylvester Stallone 'berputih mata' terlepas hak cipta asal filem Rocky


  • Hiburan
  • Isnin, 27 Jan 2025

Sylvester Stallone merupakan pencipta dan penulis asal filem Rocky.

FILEM siri popular Rocky cukup ikonik dalam kalangan penggemar sukan tinju yang banyak menyumbang kepada pengenalan seni pertahan diri itu ke seantero dunia.

Pelakon utamanya, Sylvester Stallone, 78, yang juga merupakan penulis dan pencipta asal filem berkenaan pernah meluahkan rasa bangga ekoran kejayaan ditempa sepanjang melakonkan watak Rocky Balboa.

Malah, fenomena naskhah tersebut turut dirakamkan menerusi binaan patung tugu di Muzium Seni Philadelphia dekat Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) sebagai simbolik populariti filem berkenaan.

Pun begitu, Stallone menyimpan seribu satu kesalan ekoran isu pemilikan hak cipta karya itu yang akhirnya jatuh ke tangan individu lain.

@itachi_balboa Eye of the tiger #rockybalboa #rocky3edit #eyeofthetiger ♬ sonido original - Balboa

Kisahnya bermula di awal penerbitan Rocky (1976) bila mana Stallone ketika itu berdepan krisis kewangan untuk menghasilkan filem berkenaan.

Kariernya yang masih belum memuncak dan kurang dikenali ramai membuatkan ramai produksi menolak tawarannya walaupun hanya memerlukan bajet AS$1 juta (RM4.38 juta) ketika itu.

Berdasarkan laporan Agensi, peruntukan itu antara yang terendah jika dibandingkan dengan kos filem aksi yang lain pada tahun berkenaan.

Atas faktor yang mendesak, Stallone kemudiannya ditawarkan untuk menjual hak cipta karya asal filem berkenaan dengan jumlah AS$300,000 (RM1.3 juta).

inkler

Stallone (kanan) bersama Winkler pada sebuah acara baru-baru ini.

Akur dengan perkara itu, Stallone meminta bayaran awal sebanyak AS$25,000 (RM110,000) dan keuntungan bersama selepas tayangan di samping syarat utama, watak utamanya dilakonkan dia sendiri.

Kemuncak penyesalan terbesar Stallone adalah apabila Rocky berjaya mengaut keuntungan lebih AS$225 juta (RM986 juta) dari serata dunia di samping pelbagai anugerah dimenangi di peringkat antarabangsa.

Hak cipta sepenuhnya yang sepatutnya dimiliki Stallone akhirnya jatuh ke tangan sebuah syarikat kendalian Irwin Winkler yang nyata mengaut keuntungan besar daripada filem berkenaan.

Pada 2011, Stallone nekad untuk menuntut hak milik asal pencipta siri Rocky namun gagal untuk memenangi kes berkenaan selepas ia hanya diselesaikan di luar mahkamah.

Irwin Winkler bersetuju membayar sejumlah wang pampasan kepada Stallone namun tidak didedahkan kepada umum.

Sehingga ke hari ini, Stallone difahamkan masih terkilan akan nasib malang menimpa dirinya dan menganggap ia sebagai penganiayaan buat dirinya yang kehilangan royalti dari filem rangkaian Rocky dan Creed. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram