SEBUAH kapal tangki berpendaftaran Malaysia yang dikenali sebagai ‘Silver Sincere’ dilaporkan karam di perairan Singapura pada petang Ahad.
Dalam satu kenyataan, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 3.40 petang.
Katanya, susulan daripada itu, MPA menyatakan agensi itu telah mengarahkan sebuah kapal kargo Indonesia untuk membantu dalam operasi menyelamat.
BACA LAGI: Cabaran pemanduan 23 selekoh, kaki Go-Kart patut uji kemahiran di RUD Karting Gamuda Cove
BACA LAGI: KKB 'hidden gem' aktiviti lasak, paragliding dan rafting antara 4 sukan ekstrem wajib cuba
Menurut kenyataan itu, kesemua lapan kru Berjaya diselamatkan oleh kapal kargo berdaftar di Indonesia, ‘Intan Daya 368’.
“Nakhoda kapal ‘Silver Sincere’ telah memindahkan kesemua kru dari kapal yang tenggelam, dan semua anak kapal tersebut berada dalam keadaan sihat,” kata agensi itu.
Kesemua anak kapal dijangka diturunkan di Batu Ampar, Indonesia.
Sebagai sebahagian daripada usaha mencari dan menyelamat, MPA turut mengerahkan kapalnya bersama dengan kapal Tentera Laut Republik Singapura (RSN) dan Pengawal Pantai Polis Singapura.
Operasi pencarian dan menyelamat sudah selesai dengan tiada mangsa lain dilaporkan.
Dalam proses pemulihan kapal, MPA mengaktifkan kapal tunda penyelamat dan kapal tindak balas tumpahan minyak sebagai langkah berjaga-jaga.
Bagi memastikan keselamatan lalu lintas maritim, agensi itu turut mengeluarkan nasihat keselamatan navigasi, meminta kapal yang melalui kawasan kejadian untuk menjauhi lokasi berkenaan.
Trafik di Selat Singapura dilaporkan tidak terjejas ekoran kejadian tersebut.
Terdahulu, detik-detik ketika kapal tersebut hampir karam turut dirakam oleh anak kapal dan tular di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram