[VIDEO] Pensyarah USM jadi kebanggaan 'kaki motor', hasilkan inovasi tayar kalis pancit, tidak bocor


Raa Khimi dan pasukannya berjaya mencipta tayar motosikal kalis pancit dan tidak bocor sekiranya tertusuk benda tajam seperti paku atau jalan berlubang.

SIAPA sangka, warga Malaysia mampu menghasilkan pelbagai inovasi luar biasa termasuklah dalam industri tayar motosikal.

Bakat mereka lebih terserlah apabila dicungkil dalam program realiti televisyen Innovathon yang ditayangkan di Astro Ria baru-baru ini.

Mereka termasuklah sekumpulan pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang rakamannya kemudian tular di Facebook selepas dikongsikan semula pengguna media sosial terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Chef Sakura rangkul pingat emas di pertandingan memasak Jepun, martabat hidangan tradisional Malaysia di mata dunia

BACA LAGI: Berkat dorongan ibu bapa, anak sindrom Down tonjol potensi luar biasa bercucuk tanam, kraf dan main piano

Kumpulan penyelidik diketuai Prof Raa Khimi Shuib itu memperkenalkan memperkenalkan 'self healing rubber' yang dimasukkan dalam lapisan tayar untuk memulihkan kebocoran tayar tersebut dengan segera.

Malah inovasi 'puncture proof self-healing tyre' itu diumumkan sebagai pemenang pada minggu keempat program Innovathon musim kedua.

Inovasi tersebut menghasilkan tayar motorsikal yang kalis pancit dan tidak bocor sekiranya tertusuk benda tajam seperti paku atau jalan berlubang.

Pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral itu dan pasukannya menerusi pembentangan di program televisyen tersebut menjelaskan bahawa inovasi berkenaan adalah hasil penyelidikan selama hampir 10 tahun.

"Ia diinspirasikan daripada proses semula jadi penyembuhan pokok getah apabila ditoreh," katanya.

Dengan gabungan teknologi bahan termaju, Raa Khimi dan pasukannya telah berjaya menghasilkan getah unik daripada getah asli Malaysia.

"Getah itu mempunyai keupayaan istimewa untuk kembali kepada sifat asalnya 100 peratus pada suhu bilik setelah diputuskan dan dicantumkan semula.

"Lapisan dalaman tayar motosikal itu dilengkapi dengan self-healing rubber yang dipasang semasa proses pembuatan tayar tanpa sebarang perubahan pada proses sedia ada.

"Ini bermakna, kos pengeluaran kekal sama, menjadikan produk ini praktikal dan efisien," katanya.

Melalui demonstrasi yang ditunjukkan, sebuah tayar motosikal dipasak dengan skru bersaiz 4milimeter (mm).

Setelah skru dikeluarkan, proses penyembuhan berlaku secara serta-merta, menutup lubang dengan sempurna.

Tayar tersebut tidak mengalami sebarang kebocoran, membuktikan kehebatan teknologi yang digunakan.

Pasukan penyelidik turut menunjukkan kelebihan menggunakan 'puncture proof self-healing tyre' berbanding penggunaan cecair penampal (liquid sealant) yang popular di kalangan pengguna motosikal.

Cecair penampal sering kali menyebabkan kerosakan tayar dan rim kerana cecair boleh menghakis permukaan tayar dan rim.

Sebaliknya, 'puncture proof self-healing tyre' menawarkan penyelesaian yang kekal, menjimatkan masa dan memastikan keselamatan.

"Pengguna juga tidak perlu berhenti di tepi jalan untuk menukar atau membaiki tayar, mengurangkan risiko kemalangan," kata Raa Khimi.

Raa Khimi berkata, produk itu telah menerima kelulusan Malaysian Standard MS1394 dan dipatenkan, menjadikannya selamat untuk digunakan.

"Dengan potensi untuk memberi manfaat kepada lebih daripada 16 juta pengguna motosikal di Malaysia, tayar ini bersedia untuk menembusi pasaran serantau seperti Thailand, Vietnam, dan Indonesia," katanya.

Untuk rekod, inovasi yang dihasilkan itu pernah menerima anugerah utama pertandingan Tech Panter 2024 di Cyberjaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram