PULAU Pinang tidak asing lagi dengan kepelbagaian restoran yang menyajikan makanan enak dan salah satu yang paling terkenal adalah Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery.
Restoran itu bukan hanya memikat selera tetapi juga menggamit nostalgia dengan simbol kejayaan yang luar biasa.
Terletak di sebuah bangunan bersejarah, sebelum ini, bangunan itu merupakan lot tukang emas warisan terkenal, B.P. de Silva yang beroperasi sejak 1872.
BACA LAGI: Cabaran pemanduan 23 selekoh, kaki Go-Kart patut uji kemahiran di RUD Karting Gamuda Cove
BACA LAGI: KKB 'hidden gem' aktiviti lasak, paragliding dan rafting antara 4 sukan ekstrem wajib cuba
Diperap dengan serbuk kari, santan dan serbuk kelapa, kabin inci digoreng dua kali untuk mendapatkan kulitnya yang rangup.
Dengan ukiran 'Renowned Jeweler' yang masih terpampang di luar kedai, ia menjadi pengingat akan sejarah yang terkenal di Pulau Pinang itu.
Restoran tersebut mula dibuka pada 2013 oleh Beh Gaik Lean, 71, yang berhasrat mengubah nasib dirinya dan keluarga melalui perniagaan yang awalnya secara kecil-kecilan.
Beroperasi dengan konsep sederhana namun penuh rasa, Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery mula mendapat perhatian ramai setelah memperkenalkan masakan Peranakan asli yang disediakan sendiri oleh Beh.
Restoran itu mendapat sokongan penuh dari anak sulung Beh, Adrian Tan, yang percaya bahawa ibunya layak dihargai lebih meluas kerana memiliki kepakaran dalam bidang masakan.
Selepas memperoleh bintang Michelin, Adrian membelanjakan hampir RM500,000 untuk membaik pulih restoran itu.
Mengimbau kenangan lama, Adrian, yang menyedari bakat luar biasa ibunya mencadangkan agar mereka membuka restoran di Pulau Pinang.
"Mama memang seorang tukang masak yang hebat. Dia bekerja keras selama bertahun-tahun tetapi tidak pernah dihargai.
"Jadi, apabila saya mendapat sedikit wang, saya berkata, 'Mama, kenapa tidak balik ke Pulau Pinang? Saya akan jadikan Mama terkenal," ujar Adrian.
Keputusan Adrian ternyata berbaloi apabila Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery mencipta sejarah sebagai restoran Peranakan pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan bintang Michelin pada 2022.
Lebih menakjubkan, restoran itu kekal dengan pengiktirafan tersebut selama tiga tahun berturut-turut.
Pie Tee menjadikan pembuka hidangan yang sangat lazat di restoran itu.
Kejayaan itu mengejutkan banyak pihak, memandangkan restoran Michelin biasanya mengiktiraf restoran mewah berkonsep 'fine dining'.
Namun, Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery memilih untuk kekal dengan konsep tradisional yang berfokus pada keaslian masakan.
Perjalanan hidup Beh yang penuh cabaran telah menjadi asas kejayaannya.
Beliau mula memasak sejak usia muda, berkahwin pada usia 18 tahun, dan mengusahakan pelbagai pekerjaan termasuk menjual kuih di tepi jalan.
Adrian, yang sering membantu ibunya ketika kecil turut melihat usaha keras ibunya mengasah bakat masakan semasa bekerja sebagai pengurus kantin dan pengendali restoran di Lembah Klang.
Setelah kembali ke Pulau Pinang dan membuka restoran tersebut, kejayaan dalam perniagaan semakin terserlah.
Dengan pengiktirafan Michelin, Adrian melaburkan hampir RM500,000 untuk menaik taraf restoran, menambah mural seni dan elemen-elemen dari filem Crazy Rich Asians.
Namun, walaupun kini semakin terkenal, Beh tetap berpegang pada prinsip untuk menyajikan masakan yang asli.
Salah satu tradisi yang beliau kekalkan adalah menyediakan hidangan Peranakan tanpa khinzir meskipun sering dikritik kerana perkara itu.
"Memasak masakan Nyonya tanpa khinzir memerlukan kemahiran tertentu, ia mencabar tetapi saya berjaya melakukannya," kata Beh.
Hidangan seperti Pie Tee yang rangup, Kiam Chye Ark (sup itik dengan sayur masin) dan Egg Belanda membawa rasa nostalgia, menceritakan kisah dedikasi dan kerja keras ibu dan anak itu.
Hidangan pencuci mulut pengat, berkrim kelapa dengan keledek, pisang dan ubi jalar juga memberikan sentuhan segar dan menyegarkan.
Kini, legasi keluarganya Beh semakin dikenali meskipun usianya semakin lanjut.
Adrian merancang untuk menerbitkan sebuah memoir yang akan mengabadikan perjalanan hidup dan resipi-resipi ibunya yang mengubah hidup mereka.
"Buku ini akan mengabadikan kisah hidup ibu saya dan resipi-resipi yang telah mengubah hidup kami," kata Adrian.
Walaupun restoran itu terus berkembang, Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery tetap berpegang pada prinsipnya iaitu menyajikan masakan yang penuh kasih sayang dan keaslian.
Warisan itu akan terus diteruskan oleh generasi seterusnya yang menandakan bahawa kejayaan diraih bukan hanya hasil usaha tetapi juga kasih sayang yang dituangkan dalam setiap hidangan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram